Wednesday, November 27, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Man City lanjut rekod tanpa kemenangan

    MANCHESRTER, 27 NOV – Manchester City mensia-siakan kelebihan 3-0 dan terikat 3-3 dengan Feyenoord dalam perlawanan mendebarkan Liga Juara-Juara kelmarin, sekali gus melanjutkan rekod tanpa kemenangan mereka kepada enam perlawanan.

    Walaupun juara Liga Perdana Inggeris itu berjaya menghentikan rentetan lima kekalahan berturut-turut, mereka gagal membangkitkan keyakinan menjelang pertembungan Ahad ini dengan pendahulu liga, Liverpool, selepas membenarkan tiga gol bolos dalam 15 minit terakhir.

    Pep Guardiola mengakui bahawa skuad penuh bintang pimpinannya kini rapuh dan kekurangan keyakinan selepas melalui tempoh terburuk sepanjang karier pengurusannya.

    Dua gol daripada Erling Haaland, ditambah dengan jaringan Ilkay Gundogan, kelihatan mampu mengembalikan kestabilan untuk Manchester City.

    Namun, kelemahan pertahanan yang menjadi punca utama kejatuhan mengejut mereka sejak beberapa minggu lalu kembali terserlah di penghujung perlawanan.

    Anis Hadj Moussa, Santiago Gimenez, dan David Hancko berjaya membalas untuk menyelamatkan satu mata penting bagi pasukan gergasi Belanda itu.

    “Kami melepaskan banyak gol kerana kami tidak stabil,” kata Guardiola.

    “Kami kalah dalam banyak perlawanan kebelakangan ini. Kami rapuh dan sudah tentu kami memerlukan kemenangan.”

    “Perlawanan (pada kedudukan 3-0) berjalan baik untuk membina keyakinan, bermain pada tahap yang baik, tetapi kali pertama sesuatu berlaku, kami menghadapi masalah,” kata Guardiola.

    Keputusan seri itu meninggalkan Manchester City dengan tugas besar untuk mara ke peringkat kalah mati, dengan perlawanan menanti di tempat lawan menentang Juventus dan Paris Saint-Germain dalam dua perlawanan Liga Juara-Juara akan datang.

    Hanya lapan pasukan teratas yang terus mara ke pusingan 16 terbaik, manakala kedudukan di 24 pasukan teratas dalam jadual 36 pasukan sudah memadai untuk melayakkan diri ke pusingan playoff. – AFP

    Aksi Haaland semasa perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara di Stadium Etihad di Manchester, England pada 26 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda