NEW DELHI, 21 JULAI – Manolo Marquez telah dilantik sebagai jurulatih pasukan bola sepak lelaki India, lebih sebulan selepas penyingkiran Igor Stimac.
Bekas pemain Sepanyol, Marquez, 55, telah melatih pasukan liga di India sejak 2020 dan akan mengambil peranan dalam pasukan kebangsaan serta-merta, kata Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) dalam satu kenyataan, kelmarin.
“Kami gembira untuk mengalu-alukan Marquez untuk peranan penting ini,” kata Presiden AIFF, Kalyan Chaubey, sambil menambah persekutuan tidak sabar untuk bekerjasama dengan jurulatih baharu itu untuk tahun-tahun akan datang.
Marquez, yang mempunyai pengalaman antarabangsa selama lebih 20 tahun dalam pengurusan bola sepak, dilantik sebagai jurulatih FC Goa sejak Jun tahun lalu dan berkata, dia berterima kasih kepada AIFF atas peluang itu kerana dia menganggap India sebagai rumah keduanya.
“Saya mahu melakukan yang terbaik untuk membawa kejayaan kepada jutaan peminat yang kami ada,” katanya.
Bekas pemain pertahanan West Ham dan Croatia, Stimac, dipecat Jun lalu berikutan prestasi buruk pasukan India dalam kelayakan Piala Dunia.
Tempoh lima tahun Stimac berakhir dengan kontroversi, dengan persekutuan India menuduhnya menggunakan astrologi untuk memilih pasukannya.
Stimac, yang bermain separuh akhir Piala Dunia untuk Croatia pada 1998, dilantik sebagai jurulatih India pada 2019 dan mereka telah mencecah 100 teratas ranking dunia FIFA hanya untuk kali kedua dalam hampir 30 tahun. – AFP