MADRID, 26 NOV – Dengan ketiadaan Vinicius Junior dari Real Madrid yang cedera untuk pertembungan Liga Juara-Juara menentang Liverpool esok, pemain bintang yang ditandatangani pada musim panas, Kylian Mbappe akan menjadi senjata utama serangan mereka.
Kapten pasukan Perancis itu mengalami permulaan yang mencabar di ibu kota Sepanyol, sama ada di dalam atau di luar padang, namun berjaya menjaringkan gol buat kali pertama dalam lima perlawanan ketika menentang Leganes baru-baru ini dalam saingan La Liga.
Jurulatih Carlo Ancelotti buat kali pertama menurunkan Mbappe di posisi sayap kiri, iaitu posisi ke-gemarannya, dan pemain bintang itu membalas kepercayaan jurulatih Itali tersebut dengan membuka jaringan di Stadium Butarque.
Namun, peluang tersebut dicipta oleh Vinicius, dan dengan pemain Brazil itu terpaksa berehat lebih daripada tiga minggu, Mbappe akan memikul tanggungjawab untuk memperkuat serangan Madrid dalam perlawanan-perlawanan akan datang, bermula di Anfield.
Liverpool kini mendahului carta kumpulan Liga Juara-Juara dengan juara bertahan Madrid turun di tangga ke-18 selepas kekalahan mengejut oleh Lille dan AC Milan dalam empat perlawanan pertama mereka.
Vinicius telah menjaringkan empat gol dalam saingan Liga Juara-Juara setakat ini, manakala Mbappe hanya mencatat satu gol dalam pertandingan Eropah tersebut.
Walaupun tujuh jaringan La Liga dalam 12 penampilan bukanlah rekod yang buruk, prestasi Mbappe dianggap belum mencapai tahap yang diharapkan berdasarkan status bintangnya. – AFP