BEIJING, 26 APRIL – Bekas pemain nombor satu dunia, Daniil Medvedev akan mengetuai kepulangan tenis lelaki elit ke China selepas rehat empat tahun yang dicetuskan COVID, kata penganjur hari ini.
Pemain Rusia itu, pemenang Terbuka AS pada 2021 dan naib juara Terbuka Australia dua kali, akan bermain di Kejohanan Zhuhai Jelajah ATP pada 20 hingga 26 September.
Pegawai Kejohanan Zhuhai juga telah mengadakan perbincangan ‘berjaya’ dengan juara Grand Slam dan pemain pilihan teratas yang lain, kata ATP. Lebih banyak nama terkemuka akan diumumkan ‘tidak lama lagi’.
Satu lagi acara ATP akan berlangsung di Chengdu, di barat daya China, pada masa yang sama dengan kejohanan Zhuhai.
Ia diikuti oleh Terbuka China di Beijing bermula pada akhir September, sebelum Shanghai Masters yang berprestij pada Oktober.
“Saya benar-benar tidak sabar untuk kembali ke China dan bermain di Pusat Tenis Antarabangsa Hengqin,” kata Medvedev yang berusia 27 tahun, kini di ranking ketiga dunia, mengenai penampilan sulungnya di Zhuhai.
“Saya tidak sabar untuk melihat bandar dan stadium, saya telah mendengar banyak perkara baik mengenai kedua-duanya.”
Alex de Minaur dari Australia memenangi edisi pertama pertandingan di Zhuhai, berhampiran Hong Kong, pada 2019.
Jelajah WTA wanita berkata awal bulan ini bahawa ia juga akan kembali ke China tahun ini.
Sukan antarabangsa kembali ke negara itu selepas pihak berkuasa membatalkan sekatan perjalanan yang ketat yang dikenakan akibat pandemik. – AFP