Friday, January 24, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mencabut uban dan mewarnakannya

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Uban ialah rambut yang sudah putih ataupun mulai menjadi putih. Pada kebiasaannya uban akan tumbuh pada usia tua tetapi ada juga sebahagian orang sudah beruban pada usia muda. Oleh kerana itu, ada orang yang merasa gelisah dan risau dengannya dan ada juga yang merasa malu dengannya. Maka ada yang mencabutnya dan ada juga yang mewarnakannya dengan warna hitam. Namun adakah perbuatan itu dibenarkan oleh Islam.

    BEBERAPA AYAT AL-QUR’AN MENGENAI UBAN

    Ada beberapa ayat dalam al-Qur’an yang menyebut mengenai uban, iaitu:

    1. Surah Maryam, ayat 4 yang tafsirnya:
    Dia berkata: Ya Tuhanku! Sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban dan aku tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu Ya Tuhanku (maka janganlah Engkau hampakan doaku ini).
    (Surah Maryam: 4)

    2. Surah ar-Rum, ayat 54 yang tafsirnya:
    Allah yang menciptakan kamu daripada keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu berkeadaan kuat (muda), setelah itu Dia menjadikan kamu lemah semula dan tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.
    (Surah ar-Rum: 54)

    3. Surah al-Muzzammil, ayat 17 yang tafsirnya:
    Maka bagaimanakah kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu jika kamu tetap ingkar kepada hari (yang huru haranya) menyebabkan kanak-kanak beruban?
    (Surah al-Muzzammil: 17)

    KELEBIHAN ORANG YANG MEMPUNYAI UBAN

    Di antara kelebihan uban ialah sebagaimana disebutkan dalam hadits at-Tirmidzi yang diriwayatkan daripada Ka‘ab bin Murrah bahawa Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
    Sesiapa beruban dengan sehelai uban dalam (keadaannya) beragama Islam maka baginya cahaya pada hari kiamat.
    (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

    Imam al-Hafidz Muhammad ‘Abdurrahman al-Mubarakfuri Rahimahullah pengarang kitab Tuhfah al-Ahwadzi menghuraikan bahawa sesiapa memiliki sehelai uban dalam beragama Islam (iaitu lebih umum daripada berjihad atau selainnya) maka baginya cahaya di hari kiamat iaitu cahaya yang menerangi sesuatu kegelapan dan meleraikan kesukarannya.

    Menurut al-Munawi Rahimahullah rambut yang beruban itu sendiri yang akan menjadi cahaya bagi tuannya.

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda