JAKARTA, 17 JULAI – Presiden Indonesia, Joko Widodo menamakan menteri komunikasi baharu dalam rombakan kabinet hari ini selepas menteri sebelumnya ditahan dalam siasatan rasuah yang dikaitkan dengan projek yang menyebabkan negara itu kerugian setengah bilion dolar.
Budi Arie Setiadi menggantikan Johnny G Plate yang ditahan pada Mei lalu atas tuduhan menuntut sogokan berkaitan projek telekomunikasi kerajaan untuk meluaskan akses Internet.
Plate, yang menafikan dakwaan itu, adalah anggota kelima daripada dua pentadbiran Widodo yang ditahan dalam skandal rasuah sejak 2014.
Penyiasat telah berkata, projek telekomunikasi terbabit telah menyebabkan negara kerugian sebanyak lapan trilion rupiah (AS$533 juta).
Plate berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah atas pelbagai pertuduhan di bawah undang-undang anti rasuah Indonesia.
Penyiasat telah menamakan tujuh lagi suspek dalam kes itu, termasuk seorang pekerja anak syarikat tempatan telekomunikasi gergasi China, Huawei. – AFP