Tuesday, September 17, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mikroplastik ditemui dalam hidupan liar Hong Kong – Kajian

    HONG KONG, 9 SEPT – Zarah mikroplastik ditemui dalam sebahagian besar sampel sisa yang diambil daripada hidupan liar di Hong Kong dalam satu kajian oleh Greenpeace, kata kumpulan itu hari ini, menunjukkan bahawa haiwan masih menelan plastik walaupun mereka tidak mencari makanan di kawasan bandar.

    Laporan itu dikeluarkan menjelang rundingan pada November di Korea Selatan, di mana kerajaan-kerajaan akan berusaha untuk mencapai perjanjian penting bagi menangani masalah pencemaran plastik.

    Skala isu ini sangat luas – mikroplastik telah ditemui di parit lautan yang paling dalam, di puncak gunung paling tinggi, di atmosfera, bahkan dalam susu ibu.

    Walaupun lebih dikenali sebagai bandar pencakar langit, Hong Kong juga mempunyai kawasan luar bandar yang luas yang menjadi habitat bagi haiwan seperti kerbau, babi hutan, lembu liar, kera dan landak – spesies yang termasuk dalam kajian Greenpeace.

    Kumpulan itu, bersama penyelidik dari universiti tempatan dan Taiwan, mengumpul 100 sampel najis dari tujuh lokasi pada 2022, dan mendapati 85 peratus daripadanya mengandungi mikroplastik, kata Greenpeace dalam kenyataan akhbar.

    “Penemuan kajian ini penting, membuktikan bahawa haiwan liar boleh menelan mikroplastik di luar bandar, yang jauh dari kawasan bandar dan aktiviti manusia,” kata penyelidik, Christelle Not dari Universiti Hong Kong.

    “Memandangkan semakin banyak kajian menemui mikroplastik dalam pelbagai persekitaran semula jadi, hidupan liar, dan juga badan manusia, maka pencemaran plastik telah menjadi isu global yang perlu ditangani segera,” tambahnya, menyeru ‘perjanjian plastik global yang kukuh’ bagi membantu mencapai sasaran pengurangan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda