Thursday, December 5, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nasi ayam Hainan dapat sambutan di Asia Tenggara

    HAIKOU/KUALA LUMPUR – Ayam rebus, nasi yang dimasak dengan minyak ayam, dan sos pencicah membuatkan nasi ayam Hainan ringkas dan lazat, yang selama ini menjadi nostalgia bagi orang Cina di luar negara di Asia Tenggara.

    Lebih seabad yang lalu, semakin ramai orang Hainan menyeberangi lautan ke Asia Tenggara, membawa bersama hidangan asli mereka iaitu nasi ayam Hainan.

    Seiring berjalannya waktu, nasi ayam Hainan secara beransur-ansur menjadi hidangan popular di negara Asia Tenggara, termasuk Singapura, Thailand dan Malaysia.

    Terletak di Kota Kinabalu, Malaysia, restoran Nasi Ayam Hainan Andrew Wong cukup terkenal dalam kalangan penduduk tempatan.

    Andrew Wong Hin Hau, pemilik, yang tempat asal nenek moyangnya adalah Qionghai, Wilayah Hainan, telah memasak nasi ayam Hainan sejak 2003.

    Andrew Wong memasak nasi ayam di kedainya. – Xinhua
    Andrew Wong Hin Hau menyediakan ayam untuk nasi ayam Hainan di Kota Kinabalu di Sabah, Malaysia. – Xinhua
    Kelihatan Andrew Wong sibuk memotong ayam untuk pesanan pelanggannya. – Xinhua
    Salah seorang pekerja menghantar nasi ayam kepada pelanggan. – Xinhua
    Andrew Wong Hin Hau membeli bahan-bahan di pasar pagi di Kota Kinabalu di Sabah. – Xinhua
    Gambar menunjukkan nasi ayam yang terdapat di restoran milik Andrew Wong Hin Hau. – Xinhua
    Orang ramai memenuhi restoran milik Wong. – Xinhua

    Wong bangun sekitar jam 4 pagi setiap hari untuk membeli bahan-bahan di pasar, mula menyediakan hidangan pada jam 5:30 pagi dan menyiapkan semuanya sekitar jam 10:30 pagi.

    Katanya, perkara paling penting untuk memasak nasi ayam Hainan ialah memilih ayam yang berkualiti, menggunakan beras wangi Thai, dan membuat sos pencicahnya pekat.

    “Nasi ayam Hainan kelihatan biasa-biasa sahaja, tetapi tidak mudah untuk membuatnya dengan baik,” kata Wong yang sentiasa menambah baik resipi.

    “Sekiranya tetamu tidak berpuas hati, saya akan mencari jalan untuk menjadikannya lebih baik,” katanya sambil menambah bagaimanapun, dia tidak pernah menggantikan bahan-bahan itu dengan yang lebih murah.

    “Awda tidak boleh menipu pelanggan dengan menggunakan bahan yang berkualiti rendah hanya kerana harga terus meningkat.”

    Selama ini, Wong sentiasa mencuba nasi ayam Hainan tempatan apabila dia pergi ke tempat baharu, seperti Shanghai, Hong Kong dan Thailand. Dia mahu menjadikan restorannya lebih baik dengan mengkaji hidangan di restoran lain.

    Pada pandangannya, nasi ayam Hainan adalah makanan istimewa dan warisan dari kampung halamannya.

    “Sebagai orang Hainan, saya bangga dapat memasak nasi ayam Hainan, jadi saya akan terus melakukannya,” katanya sambil menyatakan bahawa dia telah memasaknya selama 19 tahun, dan itu adalah kerjaya impiannya.

    Menerima sambuta menggalakkan, restoran Wong menjual kira-kira 180 hidangan nasi ayam Hainan setiap hari. Scott Chong, dari Wilayah Guangdong China, adalah pelanggan tetap.

    “Rasanya sedap terutama ayamnya lembut dan nasinya wangi,” katanya.

    Wenchang, sebuah bandar di Hainan, adalah tempat kelahiran nasi ayam Hainan. Di pulau itu, ayam Wenchang adalah bahan asas untuk nasi ayam.

    Song Shenmei, 69, adalah pemilik restoran ayam di Wenchang. Sebagai pengganti generasi keempat, beliau telah mengusahakan restoran itu selama lebih empat dekad.

    “Orang di Wenchang makan ayam Wenchang semasa semua perayaan,” kata Song, sambil menambah bahawa semasa Festival Qingming, ramai orang Cina di luar negara yang pulang dari negara Asia Tenggara akan makan ayam Wenchang di restorannya.

    Song teringat bahawa pada awal 1980an, seorang warga Cina di luar negara membuka restoran ayam di Singapura. Apabila dia pulang, dia datang mengunjungi restoran Song untuk belajar memasak ayam dan membuat sos.

    “Sesetengah orang Cina di luar negara juga suka melihat saya memasak, dan apabila mereka belajar memasak, mereka memasaknya di rumah,” tambah Song.

    Nasi ayam Hainan bukan sahaja memuaskan hati pengunjung, malahan merangkumi cita rasa asli tanah kelahiran untuk orang Cina luar negara dari Hainan. Ia adalah gambaran jelas pertukaran budaya di sepanjang negara di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) daripada sejarah kepada realiti.

    Michael Heng Yee Boon, presiden Persatuan Hainan Kota Kinabalu, ialah rakyat Malaysia generasi kedua. Heng berkata nasi ayam selalu dihidangkan semasa Pesta Musim Bunga, dan ibunya akan membuatnya menjadi bebola nasi, yang melambangkan ‘reunion’ dalam budaya Cina.

    Setelah merasai nasi ayam Hainan di Hainan dan Malaysia, Heng berkata hidangan itu berbeza di kedua-dua tempat berkenaan dengan sos dan cara memasaknya.

    “Nenek moyang kami datang ke Malaysia untuk berniaga bukan sahaja dengan Hainan.

    Terdapat pelbagai kaum dan budaya yang berbeza di sini, jadi kami telah menggabungkan budaya untuk menginovasi nasi ayam Hainan Malaysia,” katanya.

    “Nasi ayam Hainan di Malaysia adalah sangat antarabangsa, dan ia dinikmati oleh orang Melayu dan orang asing,” katanya sambil menyatakan bahawa ia adalah hasil kebijaksanaan nenek moyang mereka.

    Beliau percaya walaupun budaya sentiasa berkembang, semangat orang Hainan, terutamanya semangat kerja keras, masih diwarisi dari generasi ke generasi di Malaysia.

    “Ia adalah detik yang mengharukan apabila kami mempunyai nasi ayam Hainan, bagi kami ia bukan sahaja makanan istimewa, tetapi sememangnya akar budaya kami, dan kami akan terus memeliharanya,” kata Heng. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda