Monday, September 30, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    OIC tekan kepentingan perikatan global untuk penyelesaian dua negara

    JEDDAH, 29 SEPT – Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha menekankan kepentingan Perikatan Antarabangsa untuk Melaksanakan Penyelesaian Dua Negara, yang diumumkan Menteri Luar Negeri Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan bin Abdullah pada mesyuarat peringkat tinggi yang diadakan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-79 di New York.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Taha menggesa semua negara untuk menyertai inisiatif politik bersejarah itu, menonjolkan peranannya sebagai rangkaian politik yang berusaha untuk penyelesaian dua negara mengikut undang-undang antarabangsa, Piagam PBB dan resolusi, lapor agensi berita Saudi, SPA.

    Pakatan itu, katanya, mencerminkan dedikasi untuk menyokong usaha yang bertujuan menamatkan pendudukan Israel, menubuhkan Negara Palestin dan merealisasikan keamanan yang adil, komprehensif dan berkekalan di rantau ini.

    Beliau menggesa negara yang belum mengiktiraf Negara Palestin untuk segera menyertai 149 negara yang telah berbuat demikian, dan menyokong haknya untuk menjadi ahli penuh PBB.

    Itu, katanya akan mengukuhkan kesahihan dan status politik Palestin dan memajukan hak rakyat Palestin, termasuk hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dan untuk menubuhkan negara merdeka berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya. – Bernama

    Putera Faisal bin Farhan bin Abdullah bercakap semasa Sesi ke-79 Perhimpunan Agung PBB di ibu pejabat PBB di Bandar New York pada 28 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda