BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah berjaya mengesan kegiatan percubaan sindiket dadah antarabangsa yang menggunakan Negara Brunei Darussalam sebagai hab transit dadah.
Menerusi Operasi Blockade pada awal November lalu, BKN telah berhasil mengesan percubaan sindiket berkenaan yang menjadikan negara ini sebagai lokasi asal penghantaran dadah ke beberapa buah negara lainnya di Timur Tengah, Eropah, Asia Timur dan Benua Australia. Kes ini melibatkan beberapa siri penyeludupan dadah oleh sindiket dadah antarabangsa yang dipercayai berpusat di Benua Amerika.
Menurut kenyataan daripada BKN, modus operandi sindiket ini menggunakan kemudahan penyewaan ruang pejabat secara maya di negara ini untuk mengalihkan penghantaran bungkusan dadah yang disembunyikan dalam alat pembesar suara dan Central Processing Unit (CPU) komputer.
Bungkusan itu kemudian akan diarahkan untuk dihantar semula ke negara lain melalui perkhidmatan kurier. Taktik ini digunakan untuk mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa dengan menjadikan negara ini sebagai negara asal pengiriman barangan tersebut.
Selain itu, siasatan juga mendapati sindiket tersebut telah cuba merekrut rakyat tempatan untuk turut terlibat dalam memudahkan kegiatan operasi pengedaran mereka.
Hasil siasatan dan kerjasama dengan syarikat perkhidmatan kurier dan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan ruang pejabat peribadi secara maya, BKN telah berjaya memintas beberapa penghantaran bungkusan udara yang mengandungi dadah syabu sebanyak 36.73 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya AS$477,000 iaitu kira-kira $640,600 di pasaran antarabangsa.
Rampasan sebanyak 36.73kg dalam Operasi Blockade ini juga merupakan rekod rampasan terbesar dalam sejarah BKN dan negara ini selepas kejayaan rampasan sebanyak 19 kilogram dalam Operasi Musang King pada tahun 2020.
Bagi meneruskan siasatan dan tindakan lanjut, BKN telah mendapatkan bantuan rakan agensi serantau dan antarabangsa termasuk Drug Enforcement Agency, Amerika Syarikat dalam mengesan dan menahan dalang disebalik sindiket ini.
Di kesempatan itu, BKN merakamkan ucapan penghargaan kepada agensi-agensi penguatkuasaan yang terlibat dan pihak awam yang tampil memberikan kerjasama dan menyumbang kepada kejayaan penemuan kes ini sebagai usaha bersama membanteras jenayah, sama ada di peringkat nasional mahupun global.