Monday, September 30, 2024
33.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Kabat tahan dua warga asing

    Oleh Nour Maghfirah –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Operasi Kabat 93/2024 yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) pada 20 Ogos lalu di beberapa buah rumah sewa di Mukim Pengkalan Batu dan sebuah syarikat di Mukim Gadong ‘B’ telah membawa kepada pendakwaan dua warganegara Bangladesh.

    Md Abdul Malek, 23, dan Md Mafizul Islam, 46, didakwa di bawah Peraturan 15(3), Peraturan Imigresen, Penggal 17, kerana bekerja tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport mereka. Mereka juga didakwa di bawah Bab 6(1), Perintah Agensi Pekerjaan, 2004, kerana menjalankan kegiatan agensi pekerjaan tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh.

    Kedua-duanya dijatuhi hukuman denda sebanyak $1,000 bagi setiap pertuduhan. Jika gagal membayar denda, mereka akan dipenjarakan selama sebulan bagi setiap kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Aqilah binti Haji Abidin di hadapan Hakim Mahkamah Majistret, Abdul ‘Azim bin Othman.

    JIPK menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pelanggaran undang-undang imigresen untuk melaporkannya ke talian hotline jabatan di 8734888 / 8753888 (Bandar Seri Begawan) atau 8984111 (Kuala Belait).

    Jabatan Buruh turut mengingatkan orang ramai, khususnya warga asing, agar tidak menjalankan sebarang kegiatan agensi pekerjaan tanpa lesen sah. Maklumat lanjut mengenai agensi berlesen boleh didapati di laman sesawang Jabatan Buruh di http://www.labour.gov.bn.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pelanggaran Perintah Agensi Pekerjaan 2004 boleh menghubungi hotline Bahagian Agensi Pekerjaan di talian 8753594 atau emel ke agensi.pekerjaan@buruh.gov.bn.

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda