Sunday, May 12, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Pameran ketengah projek inovasi, mampan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Politeknik Brunei (PB) bukan hanya tempat pembelajaran, ia juga tempat di mana individu dilatih dan dibimbing untuk menjadi profesional berkemahiran tinggi dan berdaya tahan dengan kompetensi yang sejajar dengan kehendak industri. Oleh itu, kolaborasi industri dan institusi adalah bukti komitmen PB terhadap pendidikan, inovasi dan pembangunan rakyat untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Perkara berkenaan antara yang disentuh oleh Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di Pesta Konvo bersempena Majlis Konvokesyen PB ke-9 yang berlangsung di Pusat Sehenti Aras 2, PB, baru-baru ini.

    Usaha PB dalam memperkasa transformasi pendidikan teknikal adalah bertepatan dengan evolusi landskap ekonomi tempatan dan global yang secara langsung mempengaruhi kemahiran anak bangsa berdasarkan perkembangan semasa dan keperluan masa hadapan bagi mewujudkan tenaga kerja negara.

    Kesungguhan itu terbukti menerusi pelbagai pameran projek yang diketengahkan oleh pelajar PB tahun akhir sepanjang berlangsungnya Pesta Konvo selama tiga hari tersebut yang diadakan bagi sama-sama meraikan kejayaan bakal graduan PB yang akan melakar detik sejarahnya pada 19 Oktober ini di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Serlah rekaan seni bina Eco-City

    Berkesempatan menyaksikan salah satu projek seni bina berjudul Eco-City Project yang diketengahkan oleh salah seorang pelajar tahun akhir dalam jurusan Diploma in Architecture, Dayang Farah Zakiah binti Dato Paduka Awang Sa Bali antaranya menjelaskan projek tahun akhir berkenaan lebih memfokuskan reka bentuk persekitaran bertemakan Eco-City yang terletak di tengah-tengah ibu negara sekali gus diharap mampu menjana tarikan nilai-nilai budaya serta sosial tempatan.

    Dayang Farah Zakiah bergambar bersama projek pembangunan Eco-City yang mampan bagi menempatkan sebuah bangunan komersial diberi nama Darussalam Complex. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Awang Muhd Hamirul Aziq, Dayang Nur Syasya dan Dayang Faridul turut menampilkan projek jalinan kerjasama perusahaan madu lebah kelulut bersama MPK Tungku Katok. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Dayangku Amirah, Dayang Farhanah, Awang Abdul Mateen dan Hajah Nur Farahain bersama tenaga pengajar semasa berlangsungnya Pesta Konvo tersebut. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Nurdiyanah R.

    Jelasnya lanjut, projek seni bina berkenaan juga menempatkan sebuah bangunan komersial di sekitar Bandar Seri Begawan yang diberi nama Darussalam Complex.

    Di samping itu, reka bentuk bangunan berkenaan turut menggunakan elemen biophilic sehingga mampu mewujudkan pembangunan Eco-City yang mampan.

    Jalinan tingkat potensi produk 1K1P

    Sementara itu, satu projek jalinan kerjasama perusahaan madu lebah kelulut bersama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tungku Katok turut ditampilkan oleh sekumpulan pelajar tahun akhir dalam jurusan Diploma in Business Studies.

    Menyentuh lanjut mengenai projek berkenaan, Awang Muhd Hamirul Aziq bin Mohd Saifful Hasdi, Dayang Nur Syasya binti Zakaria dan Dayang Faridul Tayyibah menjelaskan bahawa projek yang dilaksanakan itu sememangnya bermatlamat untuk mempertingkatkan produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P).

    “Selain mendalami pengetahuan dan pengalaman dalam penghasilan madu lebah kelulut itu bersama ahli MPK berkenaan, kami memainkan peranan dalam menambahbaikan pelbagai aspek pemasaran produk merangkumi ciptaan logo dan pembungkusan baharu di samping menyediakan banner, flyer serta membuat laman web untuk katalog produk MPK.

    “Menerusi projek itu, kami secara tidak langsung memanfaatkan segala pembelajaran sepanjang tiga tahun di PB ke dalam situasi kehidupan masyarakat sebenar khususnya dalam bidang perusahaan atau perniagaan, di samping memantapkan ilmu penyelidikan, pemerhatian dan kemahiran reka bentuk digital,” ujar mereka.

    Dalam pada itu, mereka yang mewakili empat orang ahli kumpulan yang lain turut menaruh harapan projek yang diketengahkan itu mampu membuka minda masyarakat di negara ini khususnya generasi muda untuk sama-sama menyokong produk tempatan sekali gus menerokai dunia keusahawanan meskipun secara kecil-kecilan.

    Kesedaran kebersihan mulut

    Dalam pada itu, bagi memupuk kesedaran dan pendidikan tentang kepentingan kebersihan mulut dan kesannya terhadap kesihatan keseluruhannya, empat orang pelajar tahun akhir Diploma in Dental Hygiene and Therapy, Dayangku Amirah Nurul Firzanah binti Pengiran Haji Mohammad Shahepulradin, Dayang Farhanah Syazwani binti Haji Sahrani, Awang Abdul Mateen bin Awang Yakof dan Hajah Nur Farahain Nabilah binti Zulfikri turut tidak ketinggalan menampilkan sebuah pameran yang menumpukan kepada model gigi kanak-kanak dan juga dewasa, serta jenis-jenis gigi.

    Selain itu, penerangan mengenai proses berlakunya kerosakan gigi serta jenis ubat gigi dan berus gigi yang digalakkan untuk digunakan turut dimuatkan dalam pengisian petak pameran tersebut.

    “Senang untuk kita mendapatkan senyuman menawan, antaranya dengan memberus gigi dua kali sehari dan pastikan kita menggunakan berus lembut dan ubat gigi berfluorida; flos sekali sehari; begitu juga kita perlu menjauhi tabiat merokok dan memakan makanan keras dan manis. Kita juga digalakkan berjumpa doktor gigi untuk melakukan pemeriksaan secara berkala,” jelas mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bekas PM Fiji dipenjara salah guna kuasa

    SUVA, FIJI, 10 MEI - Bekas Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama, dijatuhi hukuman penjara selama setahun hari ini atas kesalahan menghalang proses keadilan selepas...