Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) itu perlu dilihat dari sudut sastera, kerana ia belum lumrah dikaitkan dengan sastera.
Sastera bagi kebanyakan orang hanya luahan minda untuk berhibur atau berseronok-seronok melalui tulisan-tulisan kreatif seperti novel, cerpen, syair, sajak dan drama.
Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semasa menyampaikan pembentangan Ucap Utama bertajuk, Falsafah Melayu Islam Beraja Dalam Sastera: Sumbangan Ke arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 pada Majlis Perasmian pertemuan Sasterawan Brunei kali ke-8 (PSB VIII), 2024, kelmarin di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas.
Yang Berhormat Mufti Kerajaan seterusnya menambah bahawa sastera itu menjadi alat kepuasan yang mempunyai pesona tersendiri.
Beliau yang hanya menyentuh mengenai Falsafah MIB dalam sastera turut mempersoalkan mengapa sastera kurang dipeduli, adakah mungkin kerana faktor ekonomi, yang mana sastera tidak mendatangkan hasil yang baik dari sudut ekonomi?
“Memang kita sedia maklum, belum pernah ada di Nusantara seorang yang kaya raya kerana sastera, malah yang miskin ada.
“Namun kalau kita masyarakat budiman, tentu saja kita tidak akan lupa, bahawa golongan penggerak perjuangan di Nusantara adalah orang-orang sastera.
“Ramai penulis besar di Indonesia dan Malaysia sebagai contoh, mereka tidak kering tinta untuk mengajak rakyat berjuang membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan, sekalipun terpaksa untuk keluar masuk penjara,” tekannya.
Menurut Yang Berhormat Mufti Kerajaan lagi, orang sastera sama ada novelis, cerpenis, pemuisi atau pengkritik sastera, mereka biasanya tidak akan duduk diam, malah dengan segera akan tampil menyuarakan pandangan atau nasihat melalui tulisan-tulisan kreatif mereka atau tulisan biasa berbentuk esei.
Sifat sasterawan, katanya, tidak mudah dipujuk, tidak mudah dirasuah sama ada berupa mata benda atau pangkat dan lain-lain, lebih-lebih lagi sasterawan MIB, tentu sahaja mereka menolak pujukan dan rasuah, kerana pujukan yang bertujuan salah dan rasuah hukumnya adalah haram di sisi undang-undang dan agama.
Beliau menjelaskan, sasterawan MIB pula adalah pendukung kepada tiga serangkai iaitu Melayu, Islam dan Beraja yang mana ketiga-tiga ayat itu menjelaskan cinta kepada Melayu iaitu Bangsa, cinta kepada Islam iaitu pegangan dan cinta kepada Raja iaitu ketua atau pemimpin.
“Kalau ini ada pada seorang sasterawan, maka setiap sastera yang dihasilkannya adalah layak untuk diberi jolokan ‘Sastera MIB’,” jelasnya.