PARIS, 1 OGOS – Pearly Tan-M Thinaah mencipta sejarah selaku beregu wanita pertama Malaysia untuk mara ke separuh akhir di pentas Sukan Olimpik selepas menyingkirkan pemenang pingat gangsa edisi lepas, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan.
Pada aksi suku akhir di Porte de La Chapelle Arena hari ini, Pearly-Thinaah sekali lagi memperagakan aksi cemerlang untuk mencipta satu lagi kejutan dengan kemenangan 21-12, 21-13 dalam masa 42 minit ke atas beregu ranking ke-10 itu.
Pasangan ranking ke-12 itu bermula cemerlang dengan mendahului 11-5 sebelum mencatatkan kemenangan selesa 21-12.
Selepas ketinggalan 2-4 pada set kedua, juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu bangkit untuk mengesahkan slot ke separuh akhir menerusi kemenangan pertama ke atas wakil Korea itu dalam dua pertemuan.
Pada temasya Olimpik Tokyo 2020, So Yeong-Hee Yong meraih gangsa selepas mengetepikan cabaran rakan senegara, Lee So Hee-Shing Seung Chan pada perlawanan penentuan pingat.
Beregu Malaysia hanya sekali layak ke suku akhir Sukan Olimpik iaitu di Rio 2016 apabila pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei tewas kepada juara acara itu, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.
Pearly-Thinaah seterusnya akan berdepan cabaran sengit menentang pasangan juara dunia empat kali, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan sekali lagi di separuh akhir esok selepas tewas 17-21, 20-22 dalam aksi pertama Kumpulan A, Sabtu lepas.
Qing Chen-Yi Fan yang merupakan pemenang pingat perak edisi Tokyo 2020 menyingkirkan wakil Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-15, 21-8 pada satu lagi aksi suku akhir. – Bernama