SAN FRANCISCO, 21 JAN – Pejabat adalah seperti ‘penjara korporat’, menurut Curtis Sparrer, seorang pemilik syarikat swasta pengiklanan yang bekerja dari rumah.
Lima tahun selepas pandemik Covid-19 yang memaksa ramai pekerja membawa balik komputer riba untuk bekerja di rumah, Sparrer mencabar gesaan daripada syarikat korporat Amerika Syarikat (AS) untuk menyarankan pekerja kembali ke pejabat sepenuh masa.
Malah perkara berkenaan semakin menjadi isu politik.
Pentadbiran Trump yang akan datang, melalui Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang diketuai oleh Elon Musk dan Vivek Ramaswamy, merancang untuk menghapuskan semua ‘kerja dari rumah’ untuk pekerja persekutuan.
“Apabila awda mempunyai pejabat fizikal, terdapat sedikit sikap ‘kurang percaya yang tersembunyi’. Awda perlu melihat pekerja secara fizikal untuk memastikan kerja sedang dibuat,” kata bos syarikat berkenaan kepada AFP dari apartmennya di San Francisco.
Berikutan revolusi kerja dari rumah, pekerjaaan jenis hibrid menjadi kebiasaan di AS dengan beberapa pengecualian seperti syarikat Goldman Sachs dan Tesla, yang dengan cepat mewajibkan kehadiran ke pejabat sepenuh masa.
Kini, beberapa syarikat utama mula mengamalkan pendekatan tanpa kompromi. Amazon baru-baru ini memerlukan jurutera dan kakitangan pentadbirannya untuk kembali hadir ke pejabat lima hari seminggu.
Namun, menurut kaji selidik yang dijalankan oleh rangkaian sosial profesional Blind September lalu, lebih 90 peratus pekerja tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan.
Di Reddit, ramai pemohon kerja menolak temu duga untuk bekerja di Amazon kerana dasar berkenaan.
JPMorgan Chase mengumumkan Mac lalu bahawa kenyataan menamatkan kerja dari rumah turut mendapat tentangan yang sama.
Pekerja-pekerjanya banyak menyiarkan komen tentang kebimbangan – daripada kos berulang-alik ke penjagaan kanak-kanak – menerusi platform dalaman syarikat yang telah pun ditutup, menurut The Wall Street Journal.
CFO JPMorgan, Jeremy Barnum menjawab isu yang boleh mengakibatkan kehilangan pekerja-pekerja cemerlang syarikat dalam kenyataan dengan berkata: “Kami harap arahan kembali ke pejabat tidak menjadi punca masalah.”
“Saya kecewa Amazon dan syarikat lain menyeret orang kembali ke pejabat apabila kami telah membuat begitu banyak kemajuan apabila menjadikan kerja dari rumah sebagai norma negara,” keluh Sparrer.
Apabila mengasaskan syarikanya, Bospar pada Januari 2015, Sparrer sengaja memilih untuk tidak menyewa ruang pejabat untuk menjimatkan perbelanjaan dan memudahkan pengambilan pekerja di luar San Francisco dan New York. Sepuluh tahun kemudian, dia masih tetap dengan keputusan itu.
Persekitaran dalam pejabat sememangnya mewujudkan ketidaksamaan, katanya.
“Seseorang mendapat tempat duduk di sudut dengan tingkap manakala seorang lagi mendapat kubikel, boleh mewujudkan perbalahan,” jelasnya.
“Terdapat juga kemungkinan lebih tinggi untuk gangguan seksual, penyakit boleh merebak dan gangguan harian daripada gosip di pejabat ataupun rasa terganggu apabila mendengar rakan sekerja mengunyah makanan mereka,” tambahnya.
Sparrer turut menekankan ancaman kepada alam sekitar apabila menyatakan bahawa kebanyakan rakyat AS memandu untuk pergi bekerja
“Kebanyakan bangunan pejabat adalah ‘mimpi ngeri’ yang mencemarkan,” katanya. Kajian daripada syarikatnya menunjukkan juga bahawa pekerja jauh lebih cenderung untuk memasak di rumah berbanding memesan makanan dan perlu mengitar semula sisa makanan mereka.
Menurut satu kajian oleh syarikat IT Scoop, menjelang akhir tahun 2024, kira-kira satu pertiga daripada syarikat AS memerlukan kehadiran pejabat sepenuh masa, 38 peratus mengekalkan pendekatan hibrid dan kurang daripada 30 peratus adalah berdasarkan pilihan pekerja sendiri. .
Sementara itu, DrFirst, satu syarikat aplikasi penjagaan kesihatan, menunjukkan kejayaan pendekatan kerja dari rumah.
Syarikat yang sebelum ini mengekalkan tiga pejabat di Arizona dan Maryland, telah mengarahkan 400 pekerjanya untuk bekerja dari rumah pada 2023 berdasarkan maklum balas pekerja.
“Lebih 85 peratus daripada kakitangan kami melaporkan bahawa bekerja dari rumah meningkatkan kesejahteraan secara keseluruhan, sama ada kesihatan mental atau fizikal dan mengurangkan tekanan,” kata Mathew Carrico, naib presiden sumber manusia syarikat itu.
“Produktiviti juga kekal tinggi,” Carrico menambah.
Untuk mengekalkan budaya dalam syarikatnya, DrFirst menubuhkan kumpulan sosial dalam talian, daftar masuk secara biasa dan sistem prestasi berdasarkan objektif penilaian pada suku tahunan.
“Kami tidak menentukan bila, di mana, atau cara orang bekerja. Dari situlah kepercayaan datang,” jelas Carrico. “Tetapi kami mengekalkan akauntabiliti melalui hasil kerja, seperti yang kami lakukan di pejabat.”
Heather Happe, seorang kakitangan DrFirst selama 14 tahun sangat menghargai peluang mengelak dari trafik sesak.
“Terdapat sedikit kesukaran untuk membahagi masa dalam bekerja dari rumah, tetapi awda sendiri akan belajar untuk menetapkan sempadan,” katanya.
“(Yang penting) Saya boleh meluangkan lebih banyak masa dengan anak, haiwan peliharaan dan tumbuhan saya!”, ujar Happe. – AFP