Wednesday, September 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pekerja Samsung India tuntut gaji dan waktu kerja lebih baik

    MUMBAI, 12 SEPT – Pekerja Samsung Electronics di selatan India telah mengadakan mogok kelmarin untuk menuntut gaji dan waktu kerja yang lebih baik, dengan syarikat gergasi teknologi pengguna itu memberikan jaminan bahawa tindakan tersebut tidak akan menjejaskan pengguna.

    India adalah negara paling ramai penduduk di dunia dan kelas pertengahannya yang semakin meningkat merupakan pasaran pertumbuhan penting bagi Samsung, sebuah syarikat yang pengeluarannya menyumbang hampir satu perempat daripada
    Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Korea Selatan.

    Mogok minggu ini menandakan insiden terbaharu ketidakpuasan hati pekerja, setelah beribu-ribu ahli kesatuan sekerja mengadakan mogok di Korea Selatan pada Julai lalu berhubung isu gaji dan faedah.

    Beratus-ratus pekerja Samsung melancarkan mogok sejak Isnin lalu di sebuah kilang di luar bandar selatan Chennai yang menggaji kira-kira 1,800 pekerja untuk membina televisyen, peti sejuk dan barangan pengguna lain.

    “Selain gaji yang lebih tinggi dan waktu kerja yang lebih baik, kami juga menuntut agar syarikat mengiktiraf kesatuan kami,” kata wakil pekerja dan ketua kesatuan, E Muthukumar, kepada AFP.

    “Kami telah mengemukakan tuntutan kami kepada syarikat dan sedang berbincang dengan mereka.”

    Muthukumar berkata mogok itu telah menjejaskan pengeluaran di kilang tersebut.

    Namun, jurucakap Samsung India berkata kebajikan pekerja menjadi ‘keutamaan pertama’ bagi syarikat itu dan ia memastikan tiada ‘gangguan’ kepada pelanggan syarikat.

    “Kami berinteraksi secara aktif dengan pekerja kami untuk menangani sebarang rungutan yang mungkin dialami mereka dan mematuhi semua undang-undang dan peraturan,” kata jurucakap itu, tanpa memberikan butiran. – AFP

    Kakitangan keselamatan mengawal di kilang Samsung India di Sriperumbudur, dekat Chennai pada 11 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda