Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Penyertaan pelajar dalam aktiviti kebangsaan dan perkembangan guru di Negara Brunei Darussalam antara topik dalam permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang dibangkitkan pagi tadi oleh Yang Berhormat Abdul Aziz bin Haji Hamdan.
Perkara berkenaan turut dijawab oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Yang berhormat Datin berkata, cadangan bagi menyemarakkan penyertaan penuntut-penuntut sekolah sebagai satu subjek khusus ke arah meningkatkan lagi semangat kekitaan.
Semangat kekitaan atau sense of belonging adalah satu refleksi akhlak yang baik dan juga nilai-nilai murni yang mana ianya diserapkan ataupun diajar dalam mata pelajaran iaitu MIB, yang memfokus kepada diri pelajar di mana mereka perlu mempunyai sekurang-kurang lima tanggungjawab iaitu tanggungjawab pada diri sendiri, tanggungjawab pada keluarga, tanggungjawab jiran dan masyarakat, tanggungjawab pada sekolah dan tanggungjawab pada negara dan ianya mestilah dijadikan satu amalan dan satu budaya di dalam kehidupan seharian.
Justeru, cadangan untuk menyerapkan penyertaan para penuntut sekolah bagi acara-acara kebangsaan itu memang sangat-sangat digalakkan kerana ia adalah penting dengan terjemahan kepada nilai-nilai murni berkenaan.

Sehubungan dengan ini, Yang Berhormat Datin juga turut menyentuh mengenai penyertaan pelajar dalam acara-acara sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 pada tahun lepas di mana sejumlah lebih 15 ribu pelajar telah terlibat dan pada acara sambutan Hari Kebangsaan yang lalu iaitu menghampiri 4 ribu pelajar telah ikut serta .
Selain daripada itu, semangat kekitaan ini juga diterapkan melalui aktiviti-aktiviti luar darjah seperti sesi menyanyikan lagu kebangsaan dan beberapa lagi aktiviti CCA yang lain.
Mengenai Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK), Yang Berhormat Datin berkata, bagi pelajar-pelajar berkeperluan khas, pembelajaran mereka adalah berpandukan kepada Rancangan Pendidikan Individu. Dalam merancangkan IEP ini, para guru boleh merujuk kepada buku kurikulum pendidikan, yang mana ia mengikut beberapa domain, seperti kesediaan belajar komunikasi, moto halus, moto komunikasi sosial, urus diri dan banyak lagi.
Manakala, KGBK adalah salah satu strategi untuk membantu pelajar belajar dari segi kemahiran literasi.
Yang berhormat Datin juga berkata, selain daripada itu ada beberapa lagi kaedah-kaedah lain seperti kaedah fonik dan sebagainya.
Seterusnya, Yang Berhormat Datin juga menyentuh mengenai guru SENA bagi memenuhi sekolah-sekolah termasuklah sekolah-sekolah agama di Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Datin berkata, Kementerian Pendidikan akan terus meneruskan pengambilan guru pendidikan khas melalui program perantis di Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah atau menawarkan program Master Of Teaching dengan pengurusan Special Master of Education.
Calon-calon yang ingin mengikuti perantis dalam pengkhususan pendidikan khas akan disalurkan ke program berkenaan.
Mengenai pengambilan guru G1, Yang Berhormat Datin mengongsikan bahawa seramai 45 orang guru telah ditetapkan dalam jawatan G1. Pihak Jabatan Pendidikan Khas akan bekerjasama dengan pihak UBD dalam menyediakan program Diploma in Education yang mana mereka akan ditawarkan secara khas untuk mendapat pensijilan agar mereka diiktiraf sebagai guru pendidikan khas atau guru SENA yang bertauliah.