BANGKOK, 24 JAN – Seorang pelancong warga Rusia telah ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh selepas didakwa mencampakkan anak lelakinya yang berusia 13 tahun ke laut dari sebuah bot berhampiran Pulau Koh Ra, wilayah Phang Nga, Thailand.
Dalam kejadian tragis pada jam 4 petang, kelmarin, mangsa, seorang warganegara Thai-Rusia, disahkan meninggal dunia di Hospital Kuraburi Chai Pattana akibat kecederaan parah di kepala dan muka, yang dipercayai berpunca daripada kipas bot.
Kapten bot memaklumkan bahawa bot tersebut membawa 33 pelancong, termasuk 17 warga Thailand dan 16 warga asing, bersama lima kru dalam perjalanan pulang dari Pulau Surin. Ketika berada kira-kira 200 meter dari Pulau Koh Ra dan Phra Thong, kapten mendapati suspek, Artem Bugorskiy, meninggalkan tempat duduknya sebelum mengangkat anaknya, Lucas, lalu mencampakkannya ke laut dari bahagian hadapan bot.
Kapten segera menghentikan bot dan berusaha menyelamatkan kedua-dua beranak itu. Walau bagaimanapun, suspek dilaporkan enggan menerima bantuan dan menolak untuk naik semula ke bot. Anak lelaki itu ditemui terapung dengan kecederaan serius di kepala dan muka. Seorang anak kapal melompat ke laut untuk menyelamatkan mangsa dan membawanya ke bahagian belakang bot.
Mangsa diberi rawatan awal di atas bot sebelum dikejarkan ke Hospital Kuraburi Chai Pattana. Namun, dia disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.
Bugorskiy kini ditahan dan didakwa atas tuduhan pembunuhan disengajakan. Walaupun dimaklumkan mengenai haknya, suspek menafikan semua tuduhan. Ketua Pendakwa Raya menyatakan bahawa pihak berkuasa akan menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan keadilan kepada mangsa.
Menurut pihak berkuasa tempatan, insiden itu mencetuskan kebimbangan serius mengenai keselamatan pelancong di kawasan perairan Thailand, terutamanya semasa musim pelancongan yang kian meningkat. – ANN/The Nation