Thursday, May 2, 2024
24 C
Brunei

    -

    Peluang kedua untuk si bulus jalanan

    CYBERJAYA – Masing-masing mungkin mempunyai naratif duka tersendiri yang tidak dapat diungkap kepada manusia, namun kesemuanya berkongsi nasib sama – hidup di jalanan dan hanya bergantung harap pada ihsan manusia.

    Ihsan manusia juga yang membawa mereka ke  sini – Taman Kucing Cyberjaya kendalian Majlis Perbandaran Sepang (MPS), sekali gus memberi ‘si bulus’ jalanan ini peluang kedua untuk hidup sebagai haiwan kesayangan keluarga. 

    Jika dulu tubuh melidi dipenuhi kurap atau mengalami cirit-birit dan buasir sehingga terkeluar usus, kini kucing-kucing jalanan yang diselamatkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bukan sahaja sihat tetapi juga montel dan manja, hasil penjagaan rapi petugas yang komited terhadap kebajikan haiwan terbabit.

    Mengintai di balik jaring bangunan berdinding separa bata merah yang menempatkan kucing-kucing, antaranya adalah si Oyen yang ‘terlebih’ mesra, kakaknya si Nur Ain yang suka menunjuk-nunjuk – akan berlari ala maraton di atas roda berpusing apabila ada pengunjung – atau Ais Krim yang gemar memanjat dan duduk di atas pokok hingga berjam-jam lamanya.

    Bersifat serampang dua mata, kewujudan taman kucing ini yang dicetuskan oleh Yang Dipertua MPS, Datuk Abdul Hamid Hussain, bukan sahaja memastikan kawasan tumpuan awam seperti medan selera dan pusat penjaja di daerah Sepang bebas kucing jalanan, tetapi turut menjamin kebajikan haiwan terbabit.

    Seekor kucing berehat di bangunan utama yang dilengkapi kipas angin, makanan kering yang sentiasa tersedia serta air pancur mini sebagai sumber air minum, dan kucing-kucing terbabit dibiarkan bebas, ketika tinjauan khas di Taman Kucing Cyberjaya, baru-baru ini. – Bernama
    Arefah Rahim ditemu bual wartawan ketika tinjauan khas di Taman Kucing Cyberjaya. – Bernama
    Seorang petugas bermain bersama salah seekor kucing di bangunan utama ketika tinjauan khas di Taman Kucing Cyberjaya, baru-baru ini. – Bernama
    Anak-anak kucing beserta ibunya dikuarantin terlebih dahulu selama dua minggu bagi memastikan haiwan berkenaan tidak membawa sebarang penyakit yang boleh menjangkiti kucing lain sebelum dipindahkan ke bangunan utama. – Bernama

    PENDEKATAN TNA 

    Dibina secara integrasi dengan landskap sedia ada di atas kawasan seluas 0.32 hektar, Taman Kucing Cyberjaya terletak di lokasi yang strategik, iaitu menghadap tasik dan menjadi sebahagian daripada tarikan orang awam yang datang beriadah di Taman Tasik
    Cyberjaya, khususnya pada hujung minggu.

    Beroperasi sejak Mac 2023, taman kucing ini diuruskan oleh Jabatan Landskap MPS, dan hingga kini berjaya menyelamatkan dan melindungi sekitar 100 ekor kucing jalanan 
    dengan 75 daripadanya telahpun diambil oleh orang awam untuk dipelihara.

    Menurut Pengarah Jabatan Landskap MPS Arefah Rahim, taman itu menggunakan pendekatan TNA, – tangkap, mandul dan adopsi – iaitu menyerahkan kucing yang telah dirawat dan dimandulkan kepada mereka yang berminat menjadikan si bulus terbabit haiwan kesayangan mereka.   

    “Menerusi kaedah ini, kami dapat pastikan kucing yang kami selamatkan tidak kembali terbiar di jalanan. Malah, orang yang datang untuk adopt kucing ini juga disaring oleh
    kami dan data mereka direkodkan dalam sistem e-Cat yang kami bangunkan,” jelasnya ketika ditemui Bernama.

    Bercerita lanjut tentang operasi taman itu, Arefah berkata, kucing yang ditangkap terlebih dahulu dikuarantin selama dua minggu bagi memastikan haiwan berkenaan tidak membawa sebarang penyakit yang boleh menjangkiti kucing lain.

    “Bagi yang ada penyakit seperti kurap, kita akan rawat dahulu. Selepas semuanya okey, termasuk divaksinasi dan dimandulkan, barulah kita pindahkan kucing terbabit ke bangunan utama, iaitu sedia untuk adoption,” kongsinya.

    Di bangunan utama yang dilengkapi kipas angin, makanan kering yang sentiasa tersedia serta air pancur mini sebagai sumber air minum, kucing-kucing terbabit dibiarkan bebas.

    Masing-masing ada kegemaran, sama ada tidur di atas menara bertingkat atau bermain dengan alat mainan yang disumbang oleh orang awam.

    “Lazimnya kami akan lepas keluar kucing-kucing ini untuk bermain di dalam kawasan taman sekurang-kurangnya seminggu sekali. Biasanya pada waktu pagi. Kami buat begini atas nasihat pegawai veterinar,” sambung beliau, menambah kucing-kucing terbabit akan masuk sendiri ke dalam bangunan itu selepas beberapa ketika. “Tapi ada jugalah seekor dua yang suka panjat pokok dan enggan turun. Jenuh jugalah menunggu mereka turun,” katanya, ketawa.
       
    PANDANGAN PAKAR

    Bercerita lanjut, Arefah berkata MPS mendapatkan pandangan pakar dalam kesemua aspek penubuhan taman itu – dari peringkat awal pembinaan hinggalah kepada penguburan kucing yang mati akibat penyakit.

    “Reka bentuk taman ini dirangka oleh kami sendiri, iaitu oleh penyelia taman Munira Amuary, selepas mendapatkan pandangan pakar. Dari segi kesihatan kucing-kucing ini pula, kami lantik klinik veterinar sebagai panel kami yang datang melakukan pemeriksaan dua kali seminggu.

    “Sebenarnya perkhidmatan veterinar ini adalah dalam bentuk 24 jam, tujuh hari seminggu, iaitu doktor veterinar sentiasa on-call, sebab kita mahu kucing-kucing ini dirawat segera jika ada kecemasan,” jelasnya, menambah makanan yang diberikan juga adalah atas nasihat pegawai veterinar.

    Berkenaan tapak perkuburan pula, Arefah berkata taman itu menggunakan kaedah penguburan dalam pembentung atau culvert.

    ”Kami gali lubang sedalam tiga meter dan masukkan dua buah culvet secara menegak (seakan perigi).

    “Nak tanam pun ada cara bagi memastikan virus dan kuman tidak tersebar, iaitu dilapisi dengan kapur, arang dan diakhiri dengan tanah. Ini juga akan mengelakkan bau,” katanya, menambah setakat ini hanya seekor kucing yang diselamatkan mereka mati, iaitu akibat penyakit leukemia.

    Menurut beliau, kesemua kakitangan di taman itu adalah mereka yang suka kucing, sekali gus memudahkan lagi penjagaan haiwan terbabit.

    “Semasa penubuhan taman ini, kita buka tawaran kepada staf yang berminat dan kita saring pemohon agar semua yang terlibat dengan taman ini adalah mereka yang suka kucing. Alhamdulillah, kita ada ‘pakar’ kucing, iaitu Muhammad Ramdzan Johari selaku ketua pekerja di sini. Beliau dibantu oleh Khairul Anuar Md Rashid.

    “Saya katakan pakar kerana Ramdzan boleh kenal pasti kucing yang sedang bunting, sakit dan sebagainya. Malah, isteri beliau menjalankan perniagaan perapian dan ‘hotel’ kucing,” ujar Arefah yang mempunyai tiga ekor kucing di rumah. 
     
    HANYA KUCING JALANAN

    Bagi memastikan objektif MPS tercapai, taman itu hanya mengambil kucing jalanan yang ditangkap di kawasan awam.

    “Kami tidak akan terima jika ada orang datang serahkan kucing mereka. Masa awal-awal dulu ada yang datang letak di depan pagar kami. Tidak kurang juga yang datang buang begitu sahaja pada sebelah malam.

    “Isu ini memaksa kami naikkan papan tanda amaran bahawa kawasan ini dipantau oleh kamera litar tertutup serta menampal notis denda yang boleh dikenakan kepada pelaku.

    Sejak itu, tiada lagi kes kucing dibuang di sini,” ceritanya.

    Taman itu berkapasiti menampung hingga 300 ekor kucing pada satu-satu masa, namun buat masa ini hanya ada sekitar 30 ekor.

    “Isu yang kami hadapi ialah orang awam tidak melaporkan kepada kami kawasan yang ada kucing jalanan. Tanpa laporan daripada masyarakat, kami tidak akan dapat bertindak,” jelas beliau yang mengharapkan orang ramai lebih proaktif dalam membantu usaha MPS itu.

    “Setiap kali kami adakan program, aspek ini antara yang kami tekankan, iaitu maklumkan kepada kami jika tahu lokasi kucing jalanan (di Sepang),” tambahnya.

    Ditanya tentang kos operasi, beliau berkata taman itu memerlukan sekitar RM70,000 setahun meliputi kos penjagaan, makanan dan rawatan.

    “Buat masa ini, peruntukan disediakan oleh MPS, namun kita mengalu-alukan sumbangan orang ramai. Untuk memudahkan orang ramai menyumbang, sama ada makanan ataupun wang, kami sediakan kios dan juga kod QR.

    “Saya  lihat penggunaan kod QR ini amat membantu kerana sumbangan yang diterima meningkat saban bulan. Hal ini mungkin disebabkan mereka yang pada asalnya datang berjoging, tetapi apabila melihat ada taman kucing di sini maka turut menyumbang walaupun hanya seringgit, dua,” katanya.  – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Ancaman bom palsu cetus panik di 100 sekolah India

    NEW DELHI, 1 MEI - Ancaman bom palsu telah mencetuskan panik di sekolah di ibu negara India pada pagi tadi dengan ibu bapa bergegas membawa...