Saturday, October 5, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemain tenis Olimpik disenarai

    LONDON, 5 JULAI – Novak Djokovic, Rafael Nadal dan Andy Murray semuanya tersenarai dalam senarai penyertaan untuk tenis di Sukan Olimpik Paris yang dikeluarkan oleh Persekutuan Tenis Antarabangsa kelmarin, begitu juga Daniil Medvedev, yang secara teknikalnya akan bersaing sebagai atlet berkecuali daripada mewakili Rusia.

    Djokovic (Serbia) dan Murray (Britain) kedua-duanya berusia 37 tahun, serta Nadal (Sepanyol) berusia 38 tahun, masing-masing memiliki beberapa gelaran Grand Slam.

    Djokovic memegang rekod lelaki dengan merangkul 24 trofi utama tetapi dia tidak pernah memenangi pingat emas di Sukan Olimpik.

    Sementara itu, Nadal, telah memenangi Grand Slam lelaki sebanyak 22 kali, memperolehi emas dalam perseorangan pada 2008 dan dalam acara beregu pada 2016. Dia tidak menyertai kejohanan Wimbledon sebagai persediaan untuk menghadapi Sukan Olimpik.

    Murray pula telah memenangi tiga kejuaraan utama dan merupakan satu-satunya pemain tenis dengan pingat emas perseorangan berturut-turut di Sukan Musim Panas. Dia berkata, akan merancang untuk bersara selepas Sukan Olimpik Paris, yang akan berlangsung dari 27 Julai hingga 4 Ogos di Roland Garros, tapak Terbuka Perancis.

    Djokovic mengembalikan bola kepada Vit Kopriva semasa perlawanan pusingan pertama mereka di kejohanan tenis Wimbledon di London pada 2 Julai. – AP

    Selain itu, wanita terkemuka dalam senarai penyertaan ialah pemain nombor satu, Iga Swiatek (Poland); pemain nombor dua, Coco Gauff [Amerika Syarikat (AS)], pemain nombor empat, Elena Rybakina (Kazakhstan); termasuk pemain nombor tiga, Aryna Sabalenka, yang akan bersaing sebagai atlet berkecuali seperti Medvedev.

    Swiatek merupakan juara Grand Slam lima kali termasuk di Terbuka Perancis dalam tempoh empat daripada lima tahun lalu. Manakala Gauff dan Rybakina telah memenangi satu kejohanan utama.

    Gauff menyertai pasukan AS untuk Sukan Tokyo tiga tahun lalu, tetapi dibatalkan kerana disahkan positif COVID-19.

    Terdapat cabutan 64 pemain untuk perseorangan wanita dan lelaki, dan 32 pasukan masing-masing dalam beregu wanita dan lelaki. Kira-kira 16 penyertaan untuk beregu campuran akan ditentukan pada 24 Julai. Undian untuk menentukan kumpulan akan diadakan di Paris pada 25 Julai. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda