Friday, May 17, 2024
27.7 C
Brunei

    -

    Pemimpin pembangkang ditahan kerana cek tendang

    PHNOM PENH, KEMBOJA, 17 JAN – Seorang pemimpin penting pembangkang politik Kemboja telah ditahan kerana dipercayai mengeluarkan cek-cek tidak bernilai dalam kes yang partinya katanya bermotifkan politik.

    Thach Setha, naib presiden Parti Candlelight, ditahan kelmarin dan dituduh mengeluarkan beberapa cek tendang pada 2019.

    Dia dimasukkan ke penjara bagi tahanan pra perbicaraan di bawah undang-undang mengenai transaksi pembayaran yang membawa hukuman bagi pembayaran pembiayaan tidak sekata.

    Jika sabit bersalah, Thach Setha boleh berdepan dua hingga lima tahun penjara dan denda sehingga AS$12,250.

    Parti Candlelight kemungkinan menjadi cabaran terbesar dan paling boleh dipercayai kepada Parti Rakyat Kemboja pimpinan Perdana Menteri Hun Sen Sena dalam pilihan raya Julai depan.

    Gambar fail Thach Setha bercakap kepada pengamal media dekat Kedutaan Vietnam di Phnom Penh, Kemboja pada 14 Ogos 2014. – AP

    “Bagi kami, kami percaya bahawa kes ini bermotifkan politik, bukan mengenai cek tendang,” Son Chhay, seorang lagi naib presiden parti itu, berkata hari ini.

    Beliau berkata bahawa Parti Candle-light akan menghubungi Parti Rakyat Kemboja yang memerintah mengenai kes tersebut.

    Bagaimanapun, tambah Son Chhay, partinya juga akan bercakap dengan orang yang memfailkan tuntutan saman terhadap Thach Setha.

    Beliau berkata, jika wajar, partinya akan mencari cara untuk membayar wang yang terhutang secepat mungkin supaya Thach Setha dapat dibebaskan dan meneruskan tanggungjawab politiknya.

    Satu dokumen mahkamah yang diperoleh The Associated Press hari ini menyatakan bahawa mahkamah berkenaan telah mengeluarkan perintah-perintah supaya Thach Setha hadir di hadapan hakim siasatan pada 28 Februari dan 22 Jun tahun lalu, namun dia gagal muncul.

    Dokumen itu menambah, mahkamah kemudiannya mengeluarkan perintah kelmarin supaya Thach Setha ditahan. Mahkamah itu berkata ia menerima tuntutan mahkamah yang difailkan oleh sebuah syarikat yang menuduh Thach Setha mengeluarkan lima cek tendang.

    Parti Candlelight menggesa kerajaan dan mahkamah untuk segera membebaskan Thach Setha tanpa syarat dan berhenti menahan dan menakut-nakutkan pemimpin dan penyokong parti tersebut. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Keganasan semakin menjadi di New Caledonia

    NOUMEA, 17 MEI - Keganasan berlaku di seluruh New Caledonia untuk hari ketiga berturut-turut kelmarin, beberapa jam selepas Perancis mengenakan keadaan darurat di wilayah...