Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Orang ramai khususnya para pelanggan mesin pencetak berjenama Brother di pasaran Brunei, kini boleh menikmati waranti selama tiga tahun oleh Brother International (M) Sdn Bhd dengan rakan kongsinya, Bilster Technologies, sebuah subsidiari Kumpulan Concepts.
Pengurus Besar Kumpulan Syarikat Concepts, Vincent Pao menyatakan bahawa Brother International (M) Sdn Bhd dan Bilster Technologies yang mempunyai hubungan kerjasama selama tujuh tahun sejak memeterai kerjasama berkenaan pada 2017 telah mengesahkan lagi komitmen dengan memberikan waranti tiga tahun bagi pasaran Brunei.
Kerjasama itu, tambahnya, menunjukkan usaha bersama kedua-dua belah pihak untuk berkembang bersama dalam pasaran Brunei khususnya bagi mesin pencetak dan mesin label Brother.
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa Bilster Technologies dan setiap warga Kumpulan Syarikat Concepts, akan terus memberikan perkhidmatan terbaik bagi pasaran Brunei dengan memberikan tawaran, waranti serta perkhidmatan lepas jualan yang lebih baik.
Sementara itu, Pengurus Bilster Technologies, Chua Chai Seng menyatakan bahawa para pelanggan yang membeli sesetengah mesin pencetak Brother juga akan mendapat waranti tambahan selama 6 bulan apabila mereka membuat pendaftaran secara dalam talian.
Beliau turut menasihatkan para pelanggan khususnya yang membeli pencetak Brother agar peka mesin pencetak yang diedarkan secara rasmi oleh Bilster Technologies mempunyai pelekat yang menunjukkan ia adalah khusus bagi pasaran Brunei.
Pada masa yang sama, para pelanggan dinasihatkan hanya menggunakan dakwat mesin pencetak Brother yang asli kerana jika dakwat bukan asli digunakan ia akan merosakkan mesin pencetak mereka.
Di samping itu, Chua Chai Seng menambah Bilster dan Brother juga akan mempunyai promosi hebat ditawarkan kepada pelanggan mereka sempena bulan Ramadan yang bakal tiba.
