Thursday, December 12, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penerbangan ke Bali dibatalkan susulan letusan gunung berapi

    DENPASAR, 13 NOV – Beberapa syarikat penerbangan antarabangsa telah membatalkan penerbangan ke dan dari pulau pelancongan Bali hari ini susulan letusan berterusan Gunung Lewotobi Laki Laki, menyebabkan ramai pelancong terkandas di lapangan terbang.

    Gunung berapi Lewotobi Laki Laki di pulau terpencil Flores, provinsi Nusa Tenggara Timur, mula meletus pada 4 November, memuntahkan kolum abu panas yang tinggi ke udara, mengorbankan sembilan orang dan mencederakan puluhan yang lain.

    Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi, gunung setinggi 1,584 meter itu mengeluarkan abu sebanyak 17 kali semalam, dengan kolum terbesar mencapai ketinggian 9 kilometer.

    Pihak berkuasa telah memperluaskan zon bahaya kepada 9 kilometer susulan letusan terbaru. Material gunung berapi, termasuk batu panas, lava, serta serpihan abu, tersebar sejauh 8 kilometer dari kawah.

    Aktiviti gunung berapi itu telah mengganggu operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai, Bali, sejak letusan bermula, kata Pengurus Besar lapangan terbang itu, Ahmad Syaugi Shahab. Dalam tempoh tiga hari lalu, sebanyak 46 penerbangan – 30 berlepas dan 16 ketibaan – turut terjejas.

    Sejak kelmarin, sekurang-kurangnya 12 penerbangan domestik dan 22 penerbangan antarabangsa telah dibatalkan. Syarikat penerbangan terlibat menawarkan pilihan bayaran balik, penjadualan semula, atau pengalihan laluan kepada penumpang yang terjejas.

    Tiga syarikat penerbangan Australia turut membatalkan atau menangguhkan beberapa penerbangan mereka. Jetstar, melalui laman webnya, menyatakan bahawa penerbangan ke Bali dihentikan sementara sekurang-kurangnya sehingga esokatas alasan keselamatan. – AP

    Kelihatan papan maklumat penerbangan yang menunjukkan penerbangan dibatalkan akibat letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki, di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali, Indonesia, hari ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda