HOHHOT, 7 OGOS – Ahli arkeologi menemui sebuah ‘pengangkut keranda’ kayu dikebumikan bersama sebuah makam di Wilayah Autonomi Inner Mongolia, utara China.
Penemuan ini memberikan pemahaman yang lebih baik mengenai amalan unik, pengangkut keranda mengiringi makam golongan bangsawan Khitan yang memerintah Dinasti Liao (916-1125), lapor Xinhua.
Menurut institut peninggalan budaya dan arkeologi wilayah, ia ditemui dalam sebuah makam seorang bangsawan di daerah Kailu di bandar Tongliao.
Pengangkut keranda itu berukuran tujuh meter panjang dan lebih dua meter lebar, saiz yang agak jarang ditemui, kata kurator muzium daerah Kailu, Ma Hai yang turut serta dalam penggalian makam itu.
Lebih 30 aksesori kenderaan turut ditemui, termasuk loceng gangsa bersalut emas, rumbai gangsa dan pinggan perak. – Bernama