Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perancangan penubuhan akademi diplomatik dalam pertimbangan

    Oleh Sim Y.H –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Dalam mempertimbangkan penubuhan akademi diplomatik, tiga perkara utama perlu diberikan keutamaan iaitu tempat yang sesuai, sumber tenaga yang mahir dan mendapatkan peruntukan bagi penubuhan akademi berkenaan.

    Penerangan itu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, ketika memberikan ulasan mengenai cadangan yang dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman untuk mempunyai akademi diplomatiknya sendiri semasa MMN ke-20 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa pada setakat ini, perancangan bagi menubuhkan akademi diplomatik sentiasa dalam pertimbangan secara dalaman di mana ia memerlukan beberapa perkara yang penting iaitu tempat yang sesuai bagi melaksanakannya dengan tempat berkenaan seboleh-bolehnya berdekatan dengan atau mempunyai hubungan dengan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

    Perkara kedua ialah sumber tenaga yang mahir, berpengalaman dalam isu-isu diplomasi luar negara, isu-isu hubungan, rangkaian dan kerjasama dengan negara-negara yang berkepentingan.

    Perkata ketiga ialah peruntukan yang diperlukan bagi penubuhan akademi berkenaan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan semasa Persidangan MMN ke-20. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    “Ini perlu diberikan tumpuan kerana bagi memastikan akademi tersebut boleh beroperasi secara optimum dalam jangka masa yang panjang,” tambahnya.

    Beliau mendedahkan lagi bahawa perkara mengenai penubuhan akademi diplomatik berkenaan telah lama dan masih lagi dipertimbangkan.

    Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa dengan adanya bangunan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri yang baharu nanti, perkara itu dapat diusahakan dengan lebih lancar.

    Walau bagaimanapun, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri akan mengutamakan peningkatan kapasiti pegawai dan kakitangan seperti meningkatkan kemahiran mereka melalui kursus-kursus kepimpinan, rundingan dan pengucapan awam serta hal-hal konsular, protokol, pentadbiran dan kewangan.

    Dalam memberikan penerangan mengenai peluang bagi pegawai-pegawai kementerian untuk melanjutkan pengajian di peringkat lepasan graduan atau sarjana, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan menyatakan bahawa mereka harus mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh agensi-agensi berkenaan.

    “Dalam tahun-tahun sebelum ini, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri telah memohon untuk melanjutkan pengajian di tahap sarjana di luar negara dan kebelakangan ini, lebih banyak yang mengambil tajaan yang ditawarkan oleh negara-negara rakan,”kongsinya.

    Misalnya, ulas beliau, seramai 10 orang pegawai dari Brunei telah menerima tajaan bagi melanjutkan pengajian sarjana pada 2022-2023 di Australia yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Australia.

    Selain itu, terdapat juga kursus-kursus pendek yang ditawarkan dalam latihan diplomatik oleh beberapa buah negara termasuk India, Turkiye, Belanda, Singapura, Malaysia, China, Korea Selatan, Jepun dan New Zealand.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda