Oleh Daniel Lim
BELAIT, 1 OGOS – Pentas perayaan di Tudong Saji, Kuala Belait melabuhkan tirainya malam tadi dengan persembahan daripada PERKERUPA yang merangkumi penghulu mukim, ketua kampung dan ketua rumah panjang di Daerah Belait.
Hadir menyaksikan persembahan pada malam terakhir perayaan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Pemangku Ketua Kampung Labi 2, Awang Muhammad Nurazri bin Abdul Mustafah.
Kemudian majlis diikuti dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah yang dipimpin oleh Ketua Kampung Sungai Liang, Awang Mohammad Haszrin bin Haji Bagol sebelum pelbagai persembahan lain termasuk bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, laungan dikir dan nasyid oleh ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung di Daerah Belait.
