Thursday, November 28, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perpustakaan DBP terima sumbangan buku Ukraine

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Dalam usaha untuk memperkasakan budaya membaca dalam kalangan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menawarkan Perkhidmatan Sudut Bacaan di Perpustakaan DBP.

    Justeru bagi menambah koleksi di sudut bacaan berkenaan, majlis penyerahan buku sumbangan daripada Kedutaan Besar Ukraine ke Negara Brunei Darussalam (tidak menetap) dan Perasmian Sudut Bacaan Ukraine telah diadakan di Perpustakaan DBP Muara, hari ini.

    Sebanyak 27 naskhah buku merangkumi pelbagai topik seperti politik, sejarah, ekonomi, seni dan budaya telah disumbangkan serta dipamerkan di Sudut Bacaan Ukraine.

    Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus.

    Dalam majlis berkenaan, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Ukraine ke Negara Brunei Darussalam (tidak menetap), Puan Yang Terutama Kateryna Zelenko dalam ucapannya menyatakan buku-buku yang telah disumbangkan itu merupakan salah satu usaha untuk memperkenalkan para penulis Ukraine kepada masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

    Sumbangan buku itu bukan sahaja memperkayakan koleksi perpustakaan tetapi juga menjadi penghubung bagi memperkenalkan warisan budaya, sejarah serta kemajuan negara Ukraine.

    Dengan penambahan koleksi berkenaan, para pembaca berpeluang mengetahui kepelbagaian tradisi, identiti budaya yang dinamik serta seterusnya kefahaman mengenai Ukraine.

    Terdahulu, Pemangku Pengarah DBP, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Raden dalam kata alu-aluannya, menyatakan acara itu merupakan satu lagi langkah ke hadapan Perpustakaan DBP dalam memperkukuhkan ikatan budaya antara Negara Brunei Darussalam dan Ukraine.

    Sumbangan buku daripada pihak Kedutaan Besar Ukraine, tambahnya, menandakan semangat kerjasama dan keterlibatan yang tinggi untuk memupuk rasa cinta terhadap ilmu pengetahuan, budaya dan sastera dalam kalangan masyarakat kita dan juga masyarakat Ukraine.

    Pengiran Haji Rosli, PYT Kateryna Zelenko dan Dr Haji Mohd Ali bergambar-ramai di hadapan Sudut Bacaan Ukraine. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Pengiran Haji Rosli diberikan penerangan mengenai koleksi buku yang disumbangkan bagi Sudut Bacaan Ukraine oleh PYT Kateryna Zelenko. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda