Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Demi memelihara dan meraikan kekayaan budaya dan warisan Brunei, acara Pesona Warisan Brunei 2024 anjuran Fajr Dahlia Co dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei (DPPMB) dan Urban Brunei telah membuka tirainya hari ini di The One, Batu Satu.
Acara selama lima hari yang berlangsung sehingga 15 Disember itu menjadi platform penting untuk memupuk kesedaran budaya, menggalakkan perpaduan komuniti dan menyokong perniagaan tempatan. Ia juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan pengalaman interaktif untuk semua lapisan masyarakat.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan perasmian acara bersempena Festival Disember Brunei 2024 itu ialah Pengarah Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Awang Mohd Abdoh bin Haji Awang Damit.
Dalam ucapan perasmiannya, Dayang Siti Nurhaziqah binti Omar selaku penganjur utama dan wakil Fajr Dahlia Co, menyatakan mereka berharap acara berkenaan akan menjadi platform untuk memperkukuhkan semangat perpaduan dan memupuk kesedaran mengenai pentingnya melestarikan warisan budaya kita. Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan, termasuk para penaja, vendor dan fasilitator bengkel yang telah menyumbang kepada keberhasilan acara ini.
Dengan tema untuk menghubungkan generasi melalui budaya, acara ini memberi peluang kepada para pengunjung untuk mendekati seni, tradisi dan sejarah Brunei dengan lebih dekat.
Acara itu merangkumi empat segmen utama iaitu Naung Niaga sebagai ruang yang diuruskan oleh DPPMB, menampilkan pelbagai produk tempatan daripada usahawan Brunei; Santai Street sebuah platform kulinari dan gaya hidup yang mempamerkan makanan, minuman dan perniagaan tempatan; bengkel interaktif dengan pelbagai aktiviti seperti melukis batik dan pembuatan kuih tradisional seperti penyaram dan kuih calak serta persembahan teater sejarah iaitu penceritaan epik Nahkoda Manis dan Pahlawan Haji Saman oleh Lakap Lagor Entertainment.