Thursday, December 5, 2024
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesuruhjaya Keadilan EU berdepan siasatan polis

    BELGIUM, 4 DIS – Pesuruhjaya Keadilan Kesatuan Eropah (EU), Didier Reynders berdepan siasatan polis ketika serbuan di rumahnya kelmarin kerana disyaki terbabit dalam skim pengubahan wang haram yang melibatkan tiket loteri kebangsaan semasa memegang jawatan sebagai menteri Belgium.

    Lelaki berusia 66 tahun itu disiasat polis walaupun tidak ditahan, dan beberapa penggeledahan telah dilakukan di hartanah termasuk rumahnya di daerah Brussels, Uccle, kata sumber itu.

    Menurut media Le Soir, polis turut menggeledah rumah keduanya di kawasan luar bandar Belgium.

    Reynders berkhidmat sebagai ketua kehakiman EU dari 2019 hingga 2024 di bawah pimpinan Ursula von der Leyen, dengan penggal kedua suruhanjaya berkuatkuasa pada Ahad lalu.

    Peranannya melibatkan tanggungjawab untuk menguatkuasakan kedaulatan undang-undang dalam blok 27 negara dan juga memberikannya kuasa pendakwaan.

    Siasatan itu dilancarkan tahun lalu di bawah kuasa pendakwa raya Brussels, bertindak atas maklumat yang diterima daripada loteri kebangsaan Belgium dan sel siasatan kewangan, kata sumber itu.

    Bagaimanapun, tidak diketahui berapa banyak wang yang digunakan dalam dakwaan pengubahan wang haram itu, di mana ia dipercayai berlaku semasa Reynders menjadi menteri kerajaan itu. – AFP

    Reynders semasa menyampaikan ucapan di Parlimen Eropah, timur Perancis pada 14 Jun 2023. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda