Thursday, December 19, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pharrell Williams dinamakan sebagai duta muhibah UNESCO

    PARIS, 19 DIS — Bintang pop dan pereka fesyen, Pharrell Williams dinamakan sebagai duta muhibah UNESCO untuk pendidikan artistik dan keusahawanan di Paris baru-baru ini.

    Williams berkata beliau berharap untuk, “mendalamkan rasa perpaduan dan kebersamaan” dalam usaha untuk “menyamakan peluang bagi komuniti terpinggir.”

    Dia juga bercakap tentang masa mudanya yang miskin, sambil menambah: “(Dengan) dibesarkan di Virginia, saya tidak pernah berfikir saya akan diberi peluang seperti ini.”

    Peranan duta muhibah untuk agensi kebudayaan PBB yang berpangkalan di Paris melibatkan mempromosikan pelbagai inisiatif termasuk melindungi budaya Orang Asli, memajukan pendidikan dan penjagaan kesihatan untuk wanita, meningkatkan kesedaran tentang pencegahan pembunuhan beramai-ramai dan menjaga warisan budaya.

    Agensi PBB berkata Williams akan menjadi, “mentor dan teladan untuk pengkarya muda, khususnya di Afrika, di mana UNESCO menyokong pembangunan industri budaya.”

    Williams menyertai senarai duta muhibah yang termasuk pemuzik jazz Amerika Syarikat, Herbie Hancock; artis Brazil, Vik Muniz dan pembuat filem Jepun, Naomi Kawase.

    Williams sememangnya kerap muncul terutamanya di Paris tahun ini. Sejurus sebelum Sukan Olimpik Paris, peranannya sebagai pereka pakaian lelaki Louis Vuitton menjadi tarikan utama semasa acara penuh gemilang di ibu pejabat UNESCO.

    Pemimpin UNESCO berharap pengaruh global Williams dan hubungan mendalam dengan fesyen dan muzik akan menarik perhatian baharu kepada kerja agensi itu.

    Williams adalah orang Amerika dan pemilihannya sebagai duta muhibah juga mungkin membuktikan kemasukan semula Amerika Syarikat (AS) ke UNESCO tahun lepas. – AP

    Pharrell Williams berucap selepas dinamakan Duta Muhibah UNESCO untuk Seni, Pendidikan dan Keusahawanan di ibu pejabat UNESCO di Paris pada 17 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda