PARIS – Syarikat elektronik gergasi Jepun, Sony, meraikan ulang tahun ke-30 pelancaran konsol PlayStation, peranti ikonik yang melonjakkan firma itu ke arena utama industri permainan video.
PlayStation, yang merupakan percubaan pertama Sony dalam dunia permainan video, mula dilancarkan di Jepun pada 3 Disember 1994. Ketika itu, Sony memerlukan penjualan sejuta unit untuk menampung kos pembangunannya.
Namun, PlayStation bukan sahaja mencapai matlamat tersebut, malah menjadi legenda dengan penjualan lebih 102 juta unit, sekali gus memulakan pelbagai francais permainan popular dan menjadikan Sony sebagai pemain utama dalam industri bernilai tinggi itu.
“PlayStation mengubah sejarah permainan video,” kata pakar sejarah permainan video dari Jepun, Hiroyuki Maeda.
“Ia merevolusi segala aspek: perkakasan komputer, perisian, pengedaran dan pemasaran,” tambahnya.
MENGUBAH PERSEPSI PERMAINAN VIDEO
Salah satu faktor utama kejayaan PlayStation ialah kemampuannya mengubah permainan video daripada sekadar hobi untuk kanak-kanak kepada minat yang lebih meluas.
Sejak awal lagi, Sony jelas mahu memecahkan stereotaip itu, sebahagiannya disebabkan oleh persaingan dengan Nintendo, yang ketika itu lebih menumpukan pada permainan mesra kanak-kanak.
ASAL USUL YANG KONTROVERSIAL
Sejarah PlayStation bermula dengan kerjasama yang gagal antara Sony dan Nintendo pada akhir 1980an untuk membangunkan konsol Super Nintendo dengan pemain CD terbina dalam konsol berkenaan.
Namun, Nintendo membatalkan projek itu secara tiba-tiba pada 1991, menyebabkan Sony memutuskan untuk meneruskan pembangunan konsol secara solo.
Keputusan itu membawa kejayaan besar apabila PlayStation memperkenalkan teknologi CD-ROM yang lebih murah dan mampu menyimpan lebih banyak data berbanding kartrij.
Sony turut memikat pengguna dewasa melalui permainan seperti Tekken, Resident Evil, Silent Hill dan Metal Gear Solid, yang memberikan pengalaman lebih matang.
STRATEGI PEMASARAN INOVATIF
Strategi pemasaran PlayStation juga disesuaikan untuk golongan dewasa. Bagi pelancaran PS2 pada tahun 2000, Sony menampilkan iklan arahan pengarah terkenal Hollywood, David Lynch, yang memperlihatkan gaya nyata dan menarik perhatian penonton dewasa.
“Golongan dewasa mempunyai kuasa beli yang lebih besar berbanding kanak-kanak,” kata pengasas M05, Philippe Dubois, sebuah persatuan Perancis yang memberi tumpuan kepada pemeliharaan warisan digital.
PS2 kekal sebagai konsol paling berjaya dalam sejarah dengan lebih 160 juta unit terjual.
PERSAINGAN DAN MASA DEPAN
Dalam tempoh tiga dekad lalu, persaingan dalam industri permainan video semakin sengit dengan teknologi yang semakin maju. Walaupun pesaing seperti Sega telah tersingkir, Microsoft, Xbox, Nintendo dan Switch kekal sebagai pencabar utama.
Namun, industri permainan kini berdepan cabaran selepas lonjakan populariti semasa pandemik mula merosot dan bahagian PlayStation Sony baru-baru ini terpaksa memberhentikan ratusan pekerja.
Beberapa penganalisis turut meramalkan permainan berasaskan awan (cloud gaming) akan menggantikan konsol tradisional.
Sony tetap optimis, baru-baru ini melancarkan versi terkini PS5 dengan ciri kecerdasan buatan (AI) baharu. Bloomberg juga melaporkan bahawa syarikat itu sedang merancang untuk melancarkan versi mudah alih PlayStation yang bakal bersaing dengan Nintendo dalam pasaran peranti mudah alih.
LEGASI PLAYSTATION
Bagi peminat setia, tiada inovasi yang dapat menandingi keupayaan PlayStation asal untuk memaparkan grafik 3D, teknologi yang menyumbang kepada populariti permainan klasik seperti Tomb Raider dan Final Fantasy VII.
“Kami menemui sensasi dan emosi yang tidak pernah dirasai dengan konsol sebelumnya,” kata YouTuber Perancis dan peminat PlayStation, Cyril 2.0, yang memiliki hampir semua judul permainan PlayStation di Eropah.
Menurut Cyril, formula kejayaan PlayStation kekal mudah: “Permainan adalah elemen paling penting.” – AFP