JAKARTA, 11 DIS – Polis Indonesia didakwa terlibat dalam puluhan pembunuhan di luar undang-undang yang mengakibatkan kematian 31 individu, sekali gus mencerminkan kurangnya kemajuan dalam pembaharuan pasukan polis, kata Amnesty International Indonesia pada Isnin lalu.
Amnesty merekodkan sekurang-kurangnya 116 kes keganasan polis yang didakwa berlaku antara Januari hingga November tahun ini, termasuk 29 kes pembunuhan di luar undang-undang yang mengakibatkan 31 kematian.
Salah satu kes terbaharu berlaku pada akhir bulan lalu apabila seorang pegawai polis didakwa menembak mati seorang pelajar di Semarang, Jawa Tengah. Seorang pegawai kini telah ditahan berhubung kes tersebut.
Kes tersebut menarik perhatian negara selepas polis tempatan mendakwa tindakan tersebut dilakukan untuk meleraikan pergaduhan pelajar.
Namun, Ketua Hal Ehwal Dalaman Polis Jawa Tengah, Aris Supriyono memberitahu penggubal undang-undang dalam satu perbicaraan minggu lalu bahawa tembakan tersebut tidak ada kaitan dalam meleraikan pergaduhan berkenaan.
Kejadian keganasan polis, termasuk penyeksaan, penggunaan gas pemedih mata secara tidak wajar dan penangkapan sewenang-wenangnya, menunjukkan kurangnya kemajuan sistemik dalam reformasi polis Indonesia, kata Pengarah Eksekutif Amnesty Indonesia, Usman Hamid.
“Jika ditambah dengan siri keganasan polis yang dibincangkan secara meluas oleh orang ramai, jelas bahawa tahun ini, 2024, tidak menunjukkan sebarang peningkatan dalam sistem polis,” kata Usman. – AFP