LONDON, 27 NOV – Polis Metropolitan London telah menahan enam individu atas aktiviti disyaki berkaitan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dalam operasi besar-besaran unit pencegahan keganasan, menurut kenyataan polis hari ini.
Dua wanita dan empat lelaki telah ditahan di bawah Akta Keganasan 2000, kata Polis Metropolitan, namun tiada ancaman segera terhadap orang awam yang berkaitan dengan siasatan itu.
PKK merupakan gerakan pemisah yang memperjuangkan kemerdekaan negara Kurdish di tenggara Turkiye. Ia diharamkan di bawah undang-undang British dan turut dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh Turkiye, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
“Tangkapan ini adalah langkah khusus terhadap mereka yang kami syaki terlibat dalam aktiviti keganasan yang berkaitan dengan kumpulan tersebut,” kata jurucakap unit cegah keganasan Polis Metropolitan, Helen Flanagan.
Sebagai sebahagian daripada siasatan, polis turut melakukan serbuan di lapan lokasi di London, termasuk di sebuah Pusat Komuniti Kurdish di utara London.
“Matlamat siasatan dan aktiviti ini adalah untuk melindungi semua komuniti, terutama dalam kalangan masyarakat Turkiye dan Kurdish,” tambah Flanagan. – AFP