Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis terkorban dalam kejadian bom kereta

    ISLAMABAD, 23 DIS – Bom yang disimpan dalam kereta meletup berhampiran kawasan perumahan di ibu kota Islamabad hari ini, membunuh dua orang yang disyaki militan dan seorang pegawai, menurut kenyataan polis.

    Kejadian itu sekali gus meningkatkan kerisauan mengenai kemunculan militan di salah sebuah bandar paling selamat di dunia.

    Sementara itu, sekurang-kurangnya tiga orang pegawai polis dan tujuh awam mengalami kecederaan semasa pengeboman itu.

    Polis melalui kenyataannya menyatakan bahawa pengeboman berlaku ketika pegawai polis mengarahkan sebuah kenderaan untuk berhenti bagi pemeriksaan rutin. Namun pemandu itu enggan berhenti lalu meledakkan letupan yang disembunyikan di dalam kenderaan tersebut.

    Polis berkata seorang penumpang wanita di dalam kenderaan itu turut terbunuh.

    Rakaman televisyen menunjukkan sebuah kenderaan terbakar ketika pegawai polis menutup kawasan itu.

    Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas pengeboman itu. Tetapi Taliban Pakistan meningkatkan serangan ke atas pihak keselamatan sejak November, apabila mereka menamatkan perjanjian gencatan senjata selama sebulan dengan pihak kerajaan Pakistan.

    Keganasan berlaku beberapa hari selepas banduan Taliban Pakistan merampas sebuah pusat anti keganasan di barat laut Pakistan pada Ahad selepas merompak senjata daripada anggota polis dan menawan tiga tebusan. – AP

    Anggota keselamatan dan pasukan penyelamat berkumpul di kawasan letupan bom di Islamabad, kelmarin. – AP
    Anggota keselamatan menutup jalan menuju tempat pengeboman kereta yang meragut seorang pegawai dan dua yang disyaki militan.- AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda