JAKARTA, 11 DIS – Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka menjadi gandingan utama dalam tinjauan simulasi pemilihan bagi pilihan raya Presiden Indonesia 2024 baru-baru ini.
Berdasarkan tinjauan Indikator Politik Indonesia, sokongan terhadap Prabowo-Gibran menyaksikan peningkatan sehingga enam peratus, iaitu 45.8 peratus berbanding bulan lalu.
Sebaliknya, Ganjar Pranowo dan Mahfud Md mencatatkan penurunan sehingga lima peratus, iaitu pada kadar 25.6 peratus, manakala Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar kekal pada 22.8 peratus.
Tinjauan dijalankan dari 23 November hingga 1 Disember secara bersemuka membabitkan 5,380 responden dan menggunakan kaedah pensampelan rawak dengan margin ralat ±2.9 peratus dan tahap keyakinan 95 peratus.
Sokongan terhadap gandingan Prabowo-Gibran semakin meningkat merentasi semua peringkat umur termasuk Generasi X, milenium dan baby boomer dan kekal konsisten dalam kalangan pengundi Islam dan bukan Islam.
Meskipun pilihan raya pusingan pertama masih tidak menentu, Indikator Politik Indonesia menyuarakan keyakinan bahawa kedua-dua individu terbabit akan melayakkan diri dalam pusingan seterusnya.
Sementara itu, Lembaga Survei Indonesia mendedahkan bahawa sokongan untuk Prabowo-Gibran meningkat sebanyak 9.7 peratus kepada 45.6 peratus pada Disember berbanding tinjauan yang dilakukan pada Oktober.
Ganjar-Mahfud menduduki tempat kedua dengan 23.8 peratus, diikuti rapat Anies-Muhaimin dengan 22.3 peratus.
Tinjauan yang dijalankan dari 3 hingga 5 Disember itu membabitkan 1,426 responden melalui panggilan telefon, dengan margin ralat dianggarkan sekitar 2.6 peratus pada tahap keyakinan 95 peratus.
Rakyat Indonesia akan mengundi pada 14 Februari depan bagi memilih pemimpin seterusnya menggantikan Presiden Joko Widodo yang akan menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober 2024. – Bernama