Tuesday, February 4, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Produk jenama Mantap dilancarkan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Jenama terbaharu sos dan bahan perasa buatan tempatan Brunei, Mantap, telah sempurna dilancarkan petang tadi pada majlis pelancaran yang berlangsung di Bangunan Atoll Agro & Cold Storage Sdn Bhd, Kampung Sengkurong.

    Hadir merasmikan pelancaran berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Menurut kenyataan, produk Mantap telah diedarkan kepada lebih 400 buah kedai runcit di seluruh negara ini yang merupakan satu pelaburan langsung asing menawarkan rangkaian tujuh produk termasuk kicap, sos tomato, sos cili, ssamjang, mayones, sos keju dan sos thousand island.

    Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak dua tan sos sehari, Atoll Agro bertujuan memperkukuh usaha untuk mempelbagaikan Brunei dan keselamatan makanan dengan menetapkan harga yang kompetitif berbanding dengan import, sementara juga menyasarkan eksport ke rantau ini pada tahun ini.

    Syarikat ini juga merancang mencipta 50 pekerjaan, yang terbuka kepada penduduk tempatan, untuk menyokong pengembangan ini.

    Pengasas Atoll Agro, Ankit Jayantibhai Patel berkata, “Kami telah menjalani ujian yang teliti bukan sahaja untuk pensijilan Halal tetapi juga telah mencapai piawaian keselamatan dan kualiti makanan antarabangsa termasuk Hazard Analysis Critical Control Points (HACCP), Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), dan ISO 22000.

    “Produk kami sudah bersedia untuk pasaran dan eksport, kami juga akan memperluaskan rangkaian produk kami dan memulakan eksport ke negara-negara ASEAN,” tambah Patel.

    Patel juga memberi penghargaan kepada Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) kerana memudahkan projek ini, dengan menyatakan Brunei berpotensi untuk menerima lebih banyak pelaburan langsung asing di Asia Tenggara.

    “Sebagai pelabur asing, kami melihat potensi untuk menubuhkan perniagaan di Brunei untuk menyasarkan pasaran serantau, terutamanya dengan sokongan yang telah kami terima. Kami juga melihat sinergi dengan bekerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana tempatan dalam bahan mentah dan rantaian bekalan untuk membantu mengembangkan perniagaan ini lebih lanjut,” tambah Patel.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa menyaksikan produk Mantap pada majlis pelancaran tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda