Wednesday, January 15, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program kukuhkan institusi kekeluargaan melalui solat jemaah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JAN – Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah mengadakan Program Pengukuhan Institusi Kekeluargaan Melalui Bimbingan Imam dan Makmum Dalam Keluarga di masjid berkenaan hari ini.

    Tenaga pengajar bagi sesi teori dan praktikal dalam program berkenaan disampaikan oleh Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Fansuri @ Haji Mansur bin Mohamad Ali; Tenaga Pembimbing Kelas Bimbingan Muslimah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Dayang Rabiatul Adawiyah Nurul Mahfuzah bte Hj Mat Jali dan Tenaga Pembimbing Kelas Bimbingan Muslimah Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Dayang Nurul Janah binti Shahbudin.

    Tujuan program ini diadakan adalah untuk mewujudkan perpaduan dan kesatuan keluarga dengan mendirikan solat secara berjemaah. Di samping menerapkan kehidupan bermasyarakat iaitu makmum mempunyai kewajipan untuk mentaati imam sebagai pemimpin, program ini juga dihasrat untuk mengimarahkan masjid dengan majlis-majlis ilmu yang berkebajikan.

    Program pada hari tersebut diisikan dengan tajuk Wudhu dan seterusnya tajuk Tayamum. Hadir menyertai program tersebut adalah daripada kalangan pegawai dan kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, Muslimah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah serta pegawai dan kakitangan jemputan dari sektor swasta.

    Menurut kenyataan JHEM, solat berjemaah merupakan sesuatu yang dituntut dalam Islam dan boleh dilakukan di rumah bersama orang-orang yang kita sayangi untuk meraih ganjaran pahala lebih. Semoga dengan adanya program berkenaan akan dapat merealisasikan hasrat pelbagai pihak dalam menghidupkan solat berjemaah ke arah pembinaan Keluargaku Harapanku.

       Antara pengisian program berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JHEM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda