Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Majlis Penyerahan Sumbangan Projek Titian Impian kepada Kompleks Rumah Kebajikan telah diadakan hari ini yang berlangsung di Dewan Kuliah, Kompleks Rumah Kebajikan.
Hadir ke majlis penyerahan berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan selaku Ketua Kampung Belimbing, Pengarah Institut Perkhidmatan Awam (IPA) dan Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).
Projek Titian Impian merupakan satu inisiatif Program Jangkauan Komuniti yang dikendalikan oleh Kumpulan Titian Harapan di bawah Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) ke-31 yang dijalankan oleh IPA yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup penghuni-penghuni Kompleks Rumah Kebajikan, selaras dengan prinsip Maqasid al-Syariah.
Kumpulan Titian Harapan terdiri daripada peserta pegawai kanan EDPSGO-31 iaitu Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail dari Jabatan Kehakiman; Hajah Norazamiah binti Haji Hambali dari Pejabat Peguam Negara; Dayang Siti Arnyfariza binti Haji Mohd Jaini dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim dari Jabatan Daerah Brunei dan Muara; dan Awang Eliazar bin Sabtu dari Kementerian Pembangunan.
Projek ini dilaksanakan seiring dengan sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia ke-18 di Negara Brunei Darussalam yang bertemakan Setiap Kanak-kanak Punya Hak.
Tema ini amat bertepatan dengan matlamat projek tersebut bagi memastikan penghuni-penghuni Kompleks Rumah Kebajikan mendapat hak asasi mereka dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.
Dengan sokongan padu dari pelbagai pihak penaja seperti Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Makan Ceria Sdn Bhd (McDonald’s Brunei), Balurih Travel Sdn Bhd, Persatuan BISTARI, imagine Sdn Bhd, Cityneon Displays & Construction Sdn Bhd, P.A.R. Food & Beverage Sdn Bhd (The Coffee Bean and Tea Leaf), Arno Zoey Wonderland dan Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS), maka projek tersebut berjaya melaksanakan beberapa inisiatif penting.
Antara sumbangan utama daripada pihak penaja-penaja adalah sebuah tempat permainan. Ini bukan sahaja memberi ruang yang selamat dan kondusif untuk aktiviti rekreasi para penghuni, malah ia menjadi wadah pembangunan fizikal dan sosial yang penting dalam membentuk kesihatan mental dan fizikal yang seimbang. Kawasan permainan ini juga membantu mengeratkan hubungan sesama penghuni melalui aktiviti bermain yang sihat.
Selanjutnya, pembekalan meja dan kerusi pembelajaran yang baharu daripada pihak penaja menyediakan persekitaran yang menggalakkan pembelajaran berterusan, memupuk minat membaca, dan memberi ruang untuk penghuni mengembangkan potensi akademik mereka dalam suasana yang lebih selesa dan teratur. Sementara itu, penyumbangan meja dan kerusi untuk kegunaan umum di Kompleks Rumah Kebajikan, memudahkan aktiviti harian para penghuni serta pelawat kompleks.
Selain itu, pihak-pihak penaja juga telah menyokong program Kelas Muqaddam dan Al-Quran selama satu tahun di Kompleks Rumah Kebajikan. Melalui program ini, para penghuni akan mempelajari bacaan Al-Quran dengan betul dan seterusnya memahami nilai-nilai murni dan panduan hidup yang terkandung di dalamnya, sekali gus membentuk jati diri yang kukuh berasaskan ajaran Islam.