Oleh Salawati Haji Yahya & Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – APICTA 2024 telah menerima jumlah penyertaan tertinggi dalam sejarah APICTA iaitu sebanyak 279 penyertaan daripada 15 ekonomi anggota APICTA.
Anugerah APICTA telah menjadi simbol kecemerlangan, mengiktiraf kreativiti, semangat dan kerja keras para profesional teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), usahawan dan organisasi di seluruh rantau ini.
“Ia adalah bukti kepada kemajuan luar biasa yang dicapai dalam ICT, daripada syarikat permulaan yang inovatif kepada perusahaan yang mapan, dan daripada pemaju yang berwawasan kepada pembuat dasar yang berpandangan jauh.”
Perkara itu dijelaskan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Kerja Anugerah APICTA 2024 semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Resepsi Anugerah APICTA 2024, kelmarin di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun.
Turut hadir di majlis resepsi itu ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; Pengerusi APICTA, Fulvio Inserra; serta tetamu yang lain.
Beliau seterusnya menjelaskan Brunei Darussalam telah diberikan keistimewaan untuk menjadi tuan rumah Anugerah APICTA 2024, yang mana kali terakhir ia dianjurkan pada tahun 2012, iaitu 12 tahun yang lepas.
Katanya lagi, “Ini merupakan satu penghormatan untuk menganjurkan acara berprestij di Negara Brunei Darussalam kerana ia bertepatan dengan ulang tahun ke-20 Anugerah ICT Brunei (BICTA).”
Beliau juga menekankan Negara Brunei Darussalam sentiasa memberi sokongan kepada kemajuan teknologi, dan majlis ini adalah bagi meraikan inovasi dan pencapaian luar biasa dalam dunia ICT di seluruh rantau Asia-Pasifik dan sebagai platform untuk kerjasama, pembelajaran dan pertukaran idea-idea terkini.
“Dengan memacu inovasi dan memperkasa masa depan, visi dan misi APICTA diselaraskan dengan visi Negara Brunei Darussalam dalam memupuk ekonomi berasaskan pengetahuan,” jelasnya.
“Ketika kita melalui era transformasi teknologi yang pesat, adalah penting untuk kita terus memberi inspirasi dan sokongan kepada generasi pemimpin, pemikir dan inovator yang akan membentuk masa depan ICT, bukan sahaja di rantau kita, tetapi di seluruh dunia,” ujar beliau.
Melalui APICTA, tambahnya, kita dapat mencipta satu persekitaran yang memupuk kerjasama dan melangkaui apa yang dapat dicapai oleh teknologi untuk manfaat masyarakat kita.
Beliau seterusnya menggalakkan para peserta memanfaatkan sepenuhnya peluang jaringan dan pengalaman yang dikongsi di APICTA 2024 ini.
Sementara itu, Pameran Digital Brunei telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary di Atrium, The Mall, Gadong.
Pameran yang dibuka untuk kunjungan orang ramai dari 4 hingga 6 Disember itu bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam yang mengetengahkan kemajuan inovasi dan komitmen Negara Brunei Darussalam ke arah transformasi digital.