Sunday, January 19, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan disekat di bawah tanah lombong emas

    RUSTENBURG, 8 DIS – Pelombong yang memberontak telah menyekat lebih 400 pekerja di bawah tanah di lombong emas Afrika Selatan hari ini manakala 250 orang lagi mengadakan protes di lombong platinum, kata wakil syarikat dan kesatuan sekerja.

    Kira-kira 447 pelombong emas itu disekat di bawah tanah timur Johannesburg, mengulangi kejadian hampir serupa pada bulan Oktober yang lalu, kata pengendali lombong tersebut.

    Kejadian tersebut adalah berikutan pembunuhan seorang penyiasat syarikat minggu ini yang telah meneliti protes sebelum ini, kata Ziyaad Hassam, ketua undang-undang di lombong Gold One di Springs.

    Sekumpulan kecil pekerja yang memakai penutup muka menjadi dalang ‘situasi tebusan’ yang bermula pada permulaan syif semalam, katanya.

    Pemberontak telah mengawal kad akses keselamatan pelombong ‘supaya mereka tidak dapat keluar dari bawah tanah,’ kata Hassam kepada AFP.

    Dua pelombong yang berjaya melarikan diri hari ini mengesahkan kejadian itu kepada pihak pengurusan.

    Lebih 500 pelombong terperangkap di bawah tanah selama hampir tiga hari di lombong yang sama pada Oktober semasa pertikaian antara kesatuan buruh yang bersaing.

    Hassam berkata sebab kejadian baharu itu tidak jelas tetapi syarikat mengesyaki ada kaitan dengan perbicaraan tatatertib berhubung insiden sebelum ini.

    Seramai 50 pekerja telah diberhentikan kerja selepas perbicaraan berakhir kelmarin, katanya. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda