Wednesday, November 27, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan orang bantah penahanan datuk bandar di Turkiye

    ISTANBUL, 1 NOV – Ratusan orang berhimpun di Istanbul kelmarin untuk membantah penahanan dan penyingkiran datuk bandar dari parti pembangkang utama Turkiye yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pejuang Kurdish yang diharamkan.

    Ahmet Ozer, datuk bandar daerah Esenyurt di Istanbul dan ahli Parti Rakyat Republikan, atau CHP, ditahan baru-baru ini oleh polis anti-pengganas atas dakwaan mempunyai kaitan dengan Parti Pekerja Kurdistan, atau PKK.

    Kerajaan Turkiye kelmarin menggantikan Ozer dengan timbalan gabenor Istanbul, satu langkah yang pemimpin CHP, Ozgur Ozel dan ahli politik lain gambarkan sebagai rampasan kuasa.

    Penangkapan datuk bandar itu berlaku ketika Turkiye sedang membincangkan proses perdamaian sementara untuk menamatkan konflik 40 tahun antara PKK dan negara Turkiye yang telah menyebabkan puluhan ribu kematian.

    Penunjuk perasaan memenuhi dataran di Esenyurt selepas kerajaan mengharamkan satu perhimpunan di luar bangunan perbandaran. Sebahagian daripada mereka membawa sepanduk yang berbunyi: “Kami mahu datuk bandar yang dipilih bukan datuk bandar yang dilantik” dan menggesa agar kerajaan Presiden Recep Tayyip Erdogan meletak jawatan.

    “Pada pandangan kami, kerajaan ini yang bertindak melanggar undang-undang dan perlembagaan, telah melakukan rampasan kuasa politik. Kami tidak akan pernah menerimanya,” kata Tulay Hatimogullari, pemimpin Parti Kesaksamaan dan Demokrasi Rakyat yang pro-Kurdish, yang penyokongnya menyertai perhimpunan itu sebagai tanda solidariti.

    Ozel, yang partinya CHPnya meraih kejayaan besar dalam pilihan raya tempatan awal tahun ini, menggesa agar pilihan raya awal diadakan.

    Ozer, 64, adalah bekas ahli akademik yang berasal dari Van di timur Turkiye. Beliau telah dipilih sebagai datuk bandar Esenyurt, pinggir bandar barat di sebelah Eropah Istanbul, dalam pilihan raya tempatan pada Mac. – AP

    Orang ramai melaungkan slogan semasa protes di Istanbul, Turkiye pada 31 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda