Friday, September 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan pekerja permainan video dihentikan di AS

    SAN FRANCISCO, 29 FEB – Electronic Arts (EA) kelmarin berkata ia mengurangkan kira-kira 5 peratus daripada tenaga kerjanya, seiring dengan langkah berjimat cermat yang berterusan dalam industri permainan video dan teknologi.

    EA, yang menghasilkan permainan bola sepak popular, FC24 dan lain-lain juga akan menamatkan beberapa tajuk permainan dan menghentikan pembangunan lain yang dianggap tidak akan berjaya, kata ketua eksekutif, Andrew Wilson dalam satu mesej kepada pekerja yang disiarkan dalam talian.

    “Kami sedang menyusun semula operasi syarikat kami untuk memberikan pengalaman yang lebih mendalam dan lebih terhubung untuk peminat di mana-mana yang membina komuniti, membentuk budaya dan mengembangkan peminat,” kata Wilson.

    “Dalam masa perubahan ini, kami menjangkakan keputusan ini memberikan kesan kepada kira-kira 5 peratus daripada tenaga kerja kami,” tambahnya.

    Laporan tahunan syarikat tahun lepas menunjukkan ia mempunyai 13,400 pekerja, bermakna kira-kira 670 jawatan akan dibuang.

    Pengumuman itu dibuat sehari selepas Sony berkata ia mengurangkan 8 peratus daripada tenaga kerja globalnya, ketika pembuat permainan video mendapati mereka tidak kebal terhadap gelombang pemberhentian yang dilihat baru-baru ini dalam industri teknologi.

    Menggelarnya ‘berita sedih,’ Ketua PlayStation, Jim Ryan berkata bahawa pengurangan Sony akan menjejaskan 900 orang di seluruh dunia, termasuk studio permainan video.

    Kenyataan berasingan mengatakan studio Amerika Syarikat, Insomniac Games dan Naughty Dog, sebahagian daripada kumpulan PlayStation, terjejas oleh pemecatan pekerja. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda