Friday, January 17, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribuan penduduk enggan pindah meski gunung berapi meletus

    TERNATE, 16 JAN – Ribuan penduduk di timur Indonesia hari ini enggan meninggalkan kediaman mereka meskipun kerajaan telah mengarahkan pemindahan susulan letusan Gunung Ibu, dengan alasan mereka sudah terbiasa menghadapi situasi tersebut.

    Gunung Ibu, yang terletak di pulau terpencil Halmahera, wilayah Maluku Utara, meletus kelmarin, mengeluarkan asap dan abu setinggi empat kilometer ke udara.

    Status amaran gunung berapi itu segera dinaikkan ke tahap tertinggi oleh Badan Geologi Indonesia, mendorong pihak berkuasa tempatan untuk mengarahkan pemindahan seramai 3,000 penduduk dari enam buah kampung.

    “Sehingga kini, hanya satu kampung yang telah dipindahkan, manakala penduduk di lima kampung lain enggan berpindah,” kata jurucakap agensi pengurusan bencana tempatan, Irfan Idrus.

    Beliau menjelaskan bahawa penduduk yang enggan berpindah berpendapat mereka sudah biasa dengan letusan Gunung Ibu.

    Seorang wanita dan kanak-kanak melihat abu gunung berapi yang naik ke udara semasa letusan Gunung Ibu, dari Kampung Duono di Halmahera Barat, wilayah Maluku Utara, pada 15 Januari. – AFP

    Setakat pagi tadi, seramai 517 penduduk dari kampung paling hampir dengan gunung berapi telah dipindahkan.

    Menurut wartawan AFP di lokasi, penduduk masih menjalankan aktiviti harian mereka di kampung masing-masing walaupun trak pemindahan telah disediakan untuk membawa mereka ke kawasan selamat.

    “Kami sudah biasa dengan letusan Gunung Ibu dan setakat ini, tiada kesan terhadap kampung kami. Sebab itu kami tidak mahu dipindahkan,” kata Milka Sehe, 43, penduduk kampung Todoke.

    Sementara itu, Rista Tuyu, 32, dari kampung Tuguis berharap gunung berapi itu akan kembali tenang agar masyarakat di sana dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

    “Sudah tentu ada rasa takut dan bimbang, tetapi kami sudah terbiasa dengan letusan di sini,” katanya.

    “Dalam seminggu, letusan boleh berlaku tiga hingga empat kali, tetapi letusan paling besar berlaku minggu ini,” tambahnya.

    Irfan, pegawai pengurusan bencana, berkata, “Kami akan terus berkoordinasi dengan pegawai tempatan dan pemimpin masyarakat untuk memastikan penduduk di lima kampung tersebut dipindahkan kerana mereka berada dalam zon larangan.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda