Monday, September 30, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribuan ucap selamat tinggal kepada Ri Ri dan Shin Shin

    TOKYO, 29 SEPT – Ribuan peminat Jepun dengan sebak mengucapkan selamat tinggal kepada pasangan panda kesayangan mereka yang membuat penampilan awam terakhir di Zoo Ueno, Tokyo kelmarin sebelum kembali ke China untuk rawatan perubatan.

    Pasangan tersebut, Ri Ri dan Shin Shin, adalah ibu bapa kepada Xiang Xiang, idola yang dilahirkan di taman itu dan telah pulang ke China tahun lalu.

    Lebih 2,000 pengunjung, ramai yang memakai baju-T dan membawa barang-barang yang dihiasi dengan motif panda, beratur di luar zoo beberapa jam sebelum pembukaan. Ada yang berkata mereka berkhemah semalaman untuk mendapatkan peluang berjumpa dengan panda berkenaan.

    Panda tersebut, kedua-duanya berusia 19 tahun, tiba di Zoo Ueno pada tahun 2011. Walaupun pajakan haiwan itu sah sehingga 2026, Jepun dan China bersetuju untuk menghantarnya pulang kerana pasangan yang semakin tua itu memerlukan rawatan bagi tekanan darah tinggi, menurut zoo tersebut.

    Hirono Sasaki, yang menunggu untuk masuk ke zoo sejak pukul 5 pagi, menangis. “Mereka sentiasa menjadi sumber kebahagiaan saya, jadi saya berasa amat sedih,” katanya. “Saya suka melihat Ri Ri memanjat pokok di kandang lamanya. Saya harap ia boleh memanjat pokok lagi apabila ia kembali ke China.”

    Selepas berjam-jam menunggu, pengunjung hanya diberi masa beberapa minit di dalam pondok untuk melihat haiwan hitam-putih itu. Mereka yang bertuah dapat melihat haiwan itu mengunyah ranting buluh, tetapi yang lain hanya dapat melihatnya tidur siang. – AP

    Pengunjung melihat Shin Shin di Zoo Ueno, Tokyo, pada 28 September, sehari sebelum pasangan panda gergasi itu kembali ke China. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda