Sunday, September 15, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribut Tropika Shanshan badai Jepun

    TOKYO, 1 SEPT – Ribut Tropika Shanshan membawa hujan lebat hari ini ke kawasan Shizuoka Jepun, 180 kilometer barat daya Tokyo, ketika pegawai cuaca memberikan amaran ribut akan berlarutan selama beberapa hari lagi.

    Shanshan, membawa angin berkecepatan 65 kph, mendarat pada Khamis, menyebabkan tanah runtuh, sungai melimpah, dahan pokok patah dan serpihan bertaburan di sepanjang laluannya. Di barat daya Jepun, orang ramai sibuk membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur dan membuang peralatan yang rosak.

    Ribut itu setakat ini dikaitkan dengan kira-kira enam kematian, termasuk tiga orang yang terperangkap dalam tanah runtuh. Ia menyebabkan seorang hilang dan 127 orang cedera, menurut penyiar awam Jepun, NHK, yang menyusun laporan daripada kerajaan tempatan.

    Shanshan bergerak sangat perlahan dan hampir tidak bergerak sama sekali setakat pagi hari ini, kata Agensi Meteorologi Jepun.

    Ia mencetuskan hujan lebat di kawasan yang luas, walaupun di tempat yang tidak berada dalam laluannya, seperti pulau utama paling utara Hokkaido, menurut agensi itu.

    Beberapa rumah menjadi senget apabila bumbungnya runtuh, manakala kenderaan terpaksa melalui air coklat yang melimpah.
    Shanshan pada mulanya merayap melintasi pulau-pulau barat daya Jepun, Kyushu dan Shikoku, kemudian sampai ke pulau utama Honshu, berlegar-legar ke perairan pantai pada satu ketika tetapi kemudian bergerak semula ke darat.

    Amaran tanah runtuh telah dikeluarkan di bahagian di bandar Hamamatsu dan Izu di Prefektur Shizuoka dan Yokohama di Kanagawa, sebuah bandar pelabuhan berhampiran Tokyo, serta tempat berisiko di Tokyo. – AP

    Orang ramai mengharungi jalan yang dinaiki air ketika bandar itu dilanda hujan lebat di Ogaki, tengah Jepun pada 31 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda