Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Sembilan kumpulan pemenang dan penerima merit pertama Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2023 telah berlepas ke Hong Kong, hari ini, bagi mewakili negara dalam Pertandingan Anugerah Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) yang akan bermula esok hingga 8 Disember.
Rombongan negara diketuai oleh Pemangku Penolong Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Dayang Siti Zaraura binti Haji Mohammad sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif Brunei Darussalam di APICTA.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, Ketua Eksekutif AITI, pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan dan AITI serta ahli-ahli InfoCom Federation Brunei (IFB).
Dalam pada itu, Pengerusi IFB, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff dan Pengurus Kanan AITI, Hajah Ismawati Binti Haji Ismail yang juga ahli ExCo Brunei Darussalam juga akan menyertai dalam acara itu selaku hakim APICTA.
Mewakili negara bagi Kategori Sekolah Rendah ialah Mahad Islam Brunei dengan produk Mr Grabbish dan Brugency, dan bagi Kategori Sekolah Menengah ialah Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dengan produk Berasap manakala Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Kuala Belait menampilkan produk Mr Bin.
Bagi pengajian tinggi pula diwakili oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan membawakan produk dinamakan River Vigilance (RV) manakala Universiti Brunei Darussalam dengan produk CareerBN.
Bagi kategori Industri, negara diwakili oleh IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS) dengan produk iDentiti, NiAT Sdn Bhd dengan produk MataGrid powered by OBSERVE dan OBSERVE’, manakala itu, ODE Aquaculture and Agriculture Company membawakan produk AIquatic Tech.
Selain pertandingan, peserta APICTA juga akan berpeluang menyertai sesi rangkaian perniagaan yang diselaraskan oleh ekonomi tuan rumah yang menggalakkan peluang kerjasama dan rangkaian antara peserta.