Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak optimis ekonomi pesat

    Oleh Arissa

     

    LIMBANG, 31 Jan – Sarawak bakal menjadi pemain utama ekonomi dunia berdasarkan keupayaan ekonomi negeri ini yang mampu berkembang sesuai dengan kehendak pasaran global.

    Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, ekonomi Sarawak mampu berkembang berdasarkan sumber yang ada.

    Untuk tujuan itu katanya, Sarawak akan membawa masuk lebih ramai pakar ekonomi luar ke negeri ini untuk membangun dan menambah nilai ekonomi domestik sesuai dengan kehendak dunia.

    “Dengan adanya pakar-pakar ekonomi luar ini, kita yakin ekonomi di Sarawak akan ditambah nilai sesuai dengan kehendak dunia kerana kita yakin Sarawak akan menjadi pemain utama ekonomi dunia,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Sambutan Tahun Baru Cina 2017 di Dewan Suarah malam tadi.

    Turut sama ialah isteri Abang Johari, Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

    Datuk Amar Abang Johari (sembilan kiri) Juma’aini (lapan kiri) memotong pulut kuning disaksikan orang-orang kenamaan lain.
    Datuk Amar Abang Johari (sembilan kiri) Juma’aini (lapan kiri) memotong pulut kuning disaksikan orang-orang kenamaan lain.

    Hadir sama ialah Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK), Datuk Henry Sum Agong, Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Komuniti Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang,  Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar  Mohamad Morshidi  Abdul Ghani, Residen Bahagian Limbang, Datu Maria Hasman, menteri-menteri muda dan orang-orang kenamaan lain.

    Katanya lagi, satu persidangan yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, akan diadakan di negeri ini dengan penyertaan pakar antarabangsa bagi meneroka hala tuju pembangunan ekonomi negeri berdasarkan sumber-sumber sedia ada.

    Abang Johari berkata, beliau mempunyai perancangan sendiri untuk memajukan lagi pembangunan ekonomi negeri ini.

    Beliau berkata, mengikut perancangan baharu pembangunan ekonomi itu, kerajaan akan lebih memilih dalam menerima pelaburan ke negeri itu.

    “Pada masa sama kita juga akan menggunakan teknologi moden dan perkembangan ekonomi ini akan memberi peluang pekerjaan kepada siswazah tempatan pada masa depan,” katanya lagi.

    Dalam pada itu jelasnya sejumlah RM72 juta peruntukan diluluskan  untuk beberapa projek infrastruktur dan jalan raya di utara negeri ini.

    Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak RM30 juta diperuntukkan menaiktaraf tebingan sungai Limbang dan Esplanet Limbang serta RM2.5 juta diperuntukkan untuk membina jejantas di bandar ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda