MALAYSIA – Konteks, menurut sebahagian orang adalah segalanya.
Perkara Ini memang tidak dapat dinafikan dalam dunia seni terutamanya bagi Alexdrina Chong, yang menggambarkan dunia dengan pandangan yang unik dan bersemangat namun pandangannya terhadap dunia adalah kaku.
Perjalanan dalam dunia seni adalah sangat mencabar bagi penduduk asal Kuala Lumpur ini, yang menghasilkan seni lukisannya di bawah nama Alexoid Luce.
Bermula dari zamannya ketika masih kanak-kanak yang bermasalah hingga salah didiagnosis mengalamai gangguan mental ketika dewasa, kini dia telah mengorak langkah baharu untuk muncul sebagai seorang penggerak seni, seorang seniman dan sekaligus menjadi seorang yang tabah menghadapi masa lalu yang menyedihkan dengan cara yang lebih positif.
Mengungkap suara yang terabaikan
Dalam lukisan Bullet-Proof karya Alexoid Luce, seorang wanita berdiri dengan santai dengan ekspresi selamba dengan lubang besar dan bulat digambarkan di dada mereka, sementara lukisan I Verses Me menggambarkan seorang wanita bermain permainan tick-tac-toe melawan dirinya sendiri, di permukaan wajahnya sendiri.
Manakala lukisan Laundry Day pula menunjukkan seorang gadis memasukkan pelbagai macam wajah manusia ke dalam mesin cuci dan illustrasi Following My Instinct, digambarkan seorang kanak-kanak mengikuti garis yang ditarik oleh versi kedua dirinya sendiri – menuju ke arah ombak yang bergolak.
Sejak usia muda, Alexoid Luce tertarik dengan seni, tetapi tidak mendapat dorongan untuk melanjutkan pendidikan dalam bidang tersebut. Akhirnya, setelah tamat dari sekolah menengah, dia memilih untuk belajar seni reka grafik, yang dikatakannya sebagai seni yang paling ‘berguna’.
Setelah menghabiskan masa kanak-kanaknya di sekolah Bahasa Cina di kampung halaman orang tuanya di Melaka, Alexoid Luce melanjutkan pendidikannya di sekolah misi konvensional. Dia merasakan bahawa dirinya tidak sesuai dan tidak selesa dengan sistem pendidikan formal yang ketat di situ.
“Saya adalah seorang murid yang tidak bahagia meskipun mendapat nilai gred A hingga berubah menjadi seorang murid yang tidak bahagia tanpa nilai gred A. Selain itu, saya banyak menghabiskan waktu dengan melukis dan menyembunyikan lukisan-lukisan saya di bawah buku-buku teks. Saya selalu tertarik dengan seni, tetapi tidak mendapat dorongan untuk melanjutkan pendidikan dalam bidang tersebut,” katanya.
“Di sekolah peringkat rendah, saya sentiasa berada di kedudukan tiga teratas dalam kelas dan sebaik sahaja kedudukan saya mula menurun sedikit, guru-guru akan menggunakan alasan di sebalik faktor penurunan gred saya disebabkan oleh saya banyak membuang masa untuk melukis sesuatu yang tidak bermakna,” katanya dalam temu bual terbaru.
Namun, sastera, seni dan falsafah sangat menarik perhatiannya dan dengan banyak membaca buku dia mendapat ketenangan.
“Syukur sekali, saya dibesarkan dengan suasana rak-rak buku besar ibu bapa saya yang penuh dengan sastera, kebanyakannya dalam Bahasa Cina, dari Nietzsche hingga Echo Chen. Kenangan pertama saya tentang Picasso adalah daripada buku perpustakaan yang ibu bapa saya dapatkan untuk keluarga kami. Saya terpesona dengan keberaniannya tentang konsep ‘bukan representasi’ seninya.
“Pada saat itu, bersama karya Picasso, saya mula memahami seni abstrak sekaligus melalui seni abstrak juga kita dapat menghasilkan bentuk dan perspektif yang baru. Itulah momen-momen kegembiraan yang saya rasakan secara peribadi,” jelasnya.
Perjalanan dari Malaysia ke Amerika untuk capai impian
Setelah tamat sekolah menengah, Alexoid Luce meninggalkan Malaysia dan melanjutkan pengajiannya di Bowling Green State University di Ohio, Amerika Syarikat, di mana dia mendapat Ijazah Sarjana Muda Seni Grafik dan seterusnya, ijazah sarjana dalam pendidikan, yang menumpukan bidang literasi media.
Selama perjalanan itu, dia ditawarkan jawatan sebagai tenaga pengajar sepenuh masa dan mula menceburi pekerjaan pertamanya ke dalam bidang yang diminatinya yang masih dijawatnya hingga kini.
“Dengan gaji pertama, saya membeli sebuah blender dan memotong rambut. Apabila saya memutuskan untuk meninggalkan universiti dan mentor saya, seorang arkitek British-Rusia yang mengetuai Sekolah Seni – berkata kepada saya: Pergi, pergi, lakukan perkara yang kamu suka, tetapi tolong, sentiasa kembali kepada pengajaran. Kamu ada sesuatu di dalam diri kamu. Mengajar,” kata Alexoid Luce.
Setelah berhijrah ke Chicago, dia kemudian bergabung dengan sebuah syarikat pelancaran digital di bawah perkhidmatan agensi Hollywood. Menurutnya ia adalah sebuah pekerjaan yang terdengar lebih terkenal daripada sebenarnya, katanya dengan tegas, dia juga merekabentuk laman web dan halaman media sosial.
Pada tahun 2008, dia telah mengalami masalah kesihatan mental yang berat, tetapi masih dapat mengendalikan situasinya, dia kembali ke Malaysia bersama ahli keluarga untuk menangani masalah kesihatan yang dihadapi oleh ayahnya.
“Apabila saya kembali ke Malaysia, saya mengambil beberapa hari untuk bercuti. Selepas beberapa waktu, saya mula menubuhkan Social Collaboration (SoCo) pada tahun 2011, sebuah kumpulan kreatif kecil yang menawarkan perkhidmatan kreatif kepada pelanggan.
Namun, fokus saya ditentukan oleh reka bentuk sosial: mencipta penyelesaian, terutamanya komunikasi, dengan strategi yang bertujuan untuk menyumbang kepada sesuatu punca sosial,” katanya.
“Sulit untuk menggambarkan secara tepat pekerjaan saya yang kecil dan terbatas. Tidak ada yang memberitahu saya semasa di sekolah bahawa terdapat begitu banyak perkara yang boleh dilakukan dengan hidup saya dan bagaimana rasa ingin tahu anggota tubuh badan dan minda kami boleh terbentuk. Oleh itu, saya terus mengubah cara berpikir dan bertindak, serta mencari cara baru untuk mencapai tujuan dan impian saya,” kata Alexoid Luce.
Tenangkan fikiran yang kacau
Pada usia awal 20an, Alexoid Luce mengalami kesihatan mental yang ketara. Dia telah salah didiagnosis mengalami depresi dan diberi ubat anti-depresan yang lebih merosakkan daripada membantu.
“Kebanyakan gangguan masih belum diteliti dengan baik, cepat untuk ditandai sebagai penyelesaian. Di titik puncak penyakit saya, saya mengalami kekejangan otot disebabkan oleh serangan mengejut. Saya pernah dirawat di Chicago kerana kehilangan keyakinan untuk menjaga diri sendiri. Pada satu tahap dalam hidup saya (selepas kembali ke Malaysia), saya tidak dapat menjalankan hidup sebagai orang dewasa yang mandiri dan saya tidak berminat dengan apa-apa di sekeliling saya. Saya fikir itulah pengakhiran saya,” kata Alexoid Luce, kini berusia 45 tahun.
Dengan bantuan sokongan ibu bapa yang teguh ketika tekanan menghentamnya secara berterusan dan sekarang, dengan diagnosis bipolar II, Alexoid Luce mengakui bahawa menghadapi penyakit mentalnya akan menjadi pertempuran sepanjang hayat.
Bipolar jenis II biasanya dijelaskan sebagai memiliki kitaran perasaan yang rendah dan tinggi. Kecenderungannya lebih kepada pihak yang mengalami depresi, biasanya, selepas mengalami perasaan yang tinggi dan gembira, individu berkenaan akan tenggelam dalam perasaan tersebut.
“Apa yang telah saya pelajari daripada menghadapi penyakit ini selama lebih daripada 20 tahun ialah untuk mempunyai hubungan yang jujur dengan diri sendiri dan juga dengan doktor awda,” jelasnya.
“Fahami apa yang awda ambil dan fahami bahawa ubat bukanlah satu-satunya penyelesaian. Pilihan gaya hidup adalah penting untuk menguruskan minda yang kacau,” katanya dengan terperinci.
Pemilihan diet yang betul, senaman dan meditasi adalah penting bagi Alexoid Luce yang menerima bahawa masa-masa baik dan buruk akan menjadi sebahagian daripada hidupnya.
“Saya telah mendapat semula kehidupan yang bebas, tetapi saya masih menghadapi cabaran. Ada kalanya, saya ingin menjadi seseorang yang saya idamkan untuk kekal buat waktu-waktu tertentu. Di samping itu juga, ada kalanya saya cuba untuk menghindari situasi yang menyebabkan diri saya merasa sedih atau depresi. Natijahnya, seseorang harus menerima kenyataan bahwa hal buruk itu tidak akan berlangsung selamanya.
Mereka harus sabar dan menunggu hingga semua kegelapan berlalu.
Seni dalam suasana pandemik
Pandemik COVID-19 yang melanda pada tahun 2020 menimbulkan situasi yang sangat berat bagi mereka yang menderita gangguan kesihatan mental. Hal ini menimbulkan dampak yang sangat buruk bagi mereka, sehingga menciptakan situasi yang semakin parah. Dengan dikurung dan diasingkan sambil dipisahkan daripada melakukan rutin harian dan sistem sokongan yang biasa, kesihatan mental secara umumnya telah menurun di kalangan ramai dalam masyarakat.
Alexoid Luce berada di Melaka sebelum pengumuman perintah kawalan pergerakan pertama di negara yang bermula pada pertengahan Mac 2020.
“Kami mengadakan perhimpunan keluarga di Melaka dan tidak menjangka akan tinggal bersama-sama selama berbulan-bulan, ibu bapa dan adik-beradik saya bersama keluarga mereka. Akhirnya, saya kembali ke KL dan menghabiskan sebahagian besar waktu ketika perintah kawalan pergerakan di apartmen saya pada tahun 2020,” katanya.
Alexoid Luce mengalami kemurungan yang berpanjangan pada bulan November dan kembali memakan obat, terutamanya untuk membantu dia tidur.
Pada tahun 2021, sekatan berterusan, jadi pada bulan Mei, Alexoid Luce membuka halaman pertama dalam buku harian yang kosong dan mula melukis.
“Saya kehilangan kebanyakan projek komersial semasa pandemik, kerugian pendapatan yang besar. Sebagai gantinya, ia memberi saya ruang untuk mencari jalan keluar. Saya lakukannya dengan seni,” katanya.
Satu buku harian berubah menjadi empat dan bertambah, serta beberapa watak yang kuat muncul antaranya watak seorang gadis dengan potongan rambut bob khas, seorang wanita bertanduk dua dan bayangan gelap.
“Saya tidak mempunyai jawapan yang dalam untuk ini, tetapi saya rasa mereka semua adalah saya: semua cerita, ketakutan, kekecewaan, ironi, lukisan saya, terutama siri semasa, menyentuh dualiti dalam kehidupan. Saya tidak merancang untuk menjadikannya naratif tetapi ia muncul seiring perkembangan seni lukis saya,” katanya.- ANN/The Star