Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seni tarian pupuk cinta warisan Brunei

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Lenggokan penuh sopan diiringi langkah kaki bertinting dengan gerak tangan yang lemah gemalai sekumpulan gadis berbaju kurung tradisional yang mempamerkan keindahan tarian Brunei Asli di atas pentas telah menarik perhatian para penonton yang hadir pada Peringkat Akhir Pertandingan Tarian Brunei Asli bagi Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab serta Pertandingan Tarian Etnik Brunei bagi Sekolah-sekolah Rendah Senegara Tahun 2024 di Dewan Serbaguna, Universiti Teknologi Brunei.

    Dengan hiasan bunga di kepala dan perhiasan emas di pinggang, serta hujung jari yang berseri dengan inai berwarna merah, persembahan tersebut memperlihatkan kesenian Brunei yang kaya dengan warisan budaya.

    Sementara pasangannya lengkap berpakaian cara Melayu dan bersinjang. Tidak kurang juga, sekumpulan kanak-kanak yang melompat-lompat menepuk tempurung.

    Begitulah keindahan di sebalik tarian tradisi Brunei yang menggambarkan masyarakat Melayu yang kaya dengan khazanah keseniannya, serta kelembutan dan halus budi tatatertibnya.

    Pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kesenian dan Kreativiti, Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK) dengan kerjasama Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja itu dihasrat untuk memupuk semangat kecintaan dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri para pelajar serta menghargai warisan seni budaya masyarakat Brunei.

    Awang Julaihi semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada acara tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Sekumpulan pelajar mempersembahkan tarian di atas pentas dengan hiasan bunga di kepala dan perhiasan emas di pinggang, serta hujung jari yang berseri dengan inai berwarna merah serta kaki yang bertinting bergerak indah. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Sekumpulan pelajar yang mempersembahkan tarian yang memuatkan elemen seni persilatan yang menunjukkan kegagahan anak-anak Brunei. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Sekumpulan pelajar melompat sambil memalu dua biji tempurung di tangan mereka, mempersembahkan Tarian Aduk-Aduk. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Lebih menarik, acara tersebut mendapat sambutan ramai, di mana 11 pasukan dari sekolah menengah serta maktab kerajaan dan swasta telah menyertai pertandingan tarian asli, dengan lima pasukan berjaya mara ke peringkat akhir, selepas berjaya dinilai dalam peringkat saringan.

    Sementara itu, sebanyak 29 pasukan dari sekolah rendah kerajaan dan swasta telah mengambil bahagian dalam pertandingan tarian etnik, di mana lima pasukan turut berjaya melangkah ke peringkat akhir.

    SELAMI KEINDAHAN SENI TARIAN

    Apabila mengimbas kembali ucapan alu-aluan daripada Pengarah JPKK, Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Mohamad @ Mohamat, dalam ucapannya menyatakan bahawa seni tarian bukan hanya sekadar untuk hiburan dan persembahan semata-mata tetapi lebih dari itu, ia merupakan salah satu komponen budaya yang dapat memperlihatkan identiti, budaya dan sejarah sesuatu bangsa bagi sesebuah negara.

    “Tarian Brunei Asli dan Tarian Etnik Brunei umpamanya, menggambarkan masyarakat Melayu di negara ini yang kaya dengan khazanah keseniannya serta kelembutan dan kehalusan budi tatatertibnya,” ujarnya.

    “Pergerakan tarian-tarian ini juga sememangnya berkait rapat dengan corak kehidupan dan budaya masyarakat Brunei itu sendiri. Contohnya Tarian Adai-Adai memberi gambaran kepada kita mengenai pekerjaan Puak Melayu Brunei pada dahulunya yang menjadi nelayan. Keriangan, kepenatan dan aktiviti kaum nelayan jelas digambarkan di dalam gerak tari tarian ini,” kongsi beliau.

    Menariknya, jika diamati seni tarian itu sememangnya berupaya menggambarkan keperibadian dan budi pekerti orang-orang Brunei, yang berpegang teguh kepada konsep Melayu Islam Beraja (MIB) dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

    Dalam pada itu, Awang Julaihi dalam ucapannya mengongsikan bahawa pengendalian pertandingan tarian berkenaan juga adalah selaras dengan salah satu insiatif strategik JPKK iaitu pelaksanaan Program Sahsiah Pelajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah dan pusat tingkatan enam di seluruh negara, dalam usaha untuk meningkatkan penglibatan para pelajar secara aktif dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum agar menghasilkan pelajar yang holistik dan kompeten.

    Hakikatnya, penglibatan para pelajar dalam aktiviti seumpama ini sudah pasti akan memberikan nilai tambah dan mengukuhkan kurikulum akademik yang sedia ada melalui experiential learning.

    Pada dasarnya, Program Sahsiah Pelajar ini mempunyai empat komponen iaitu fizikal, kerohanian, kreativiti dan perkhidmatan. Dalam Program Sahsiah Pelajar, aktiviti tarian adalah termasuk di dalam komponen kreativiti di bawah sub-komponen kebudayaan. Pihak jabatan juga telah merekodkan sebanyak 40 buah sekolah yang menawarkan kelab tarian iaitu 28 buah sekolah rendah, 10 buah sekolah menengah dan dua buah pusat tingkatan enam.

    “Justeru itu, ke arah belia masa hadapan dan siap siaga, pelajar-pelajar perlu dibekalkan dengan kemahiran kreativiti seperti pembelajaran Tarian Brunei Asli dan Tarian Etnik Brunei ini.

    Dengan adanya pembelajaran kreativiti seperti ini, ia dengan secara langsung akan dapat memberikan kesedaran mengenai nilai-nilai budaya MIB yang perlu dipupuk, dipelihara dan dijaga dalam menguatkan sahsiah pelajar,” ujar Awang Julaihi dengan harapan tulus.

    WARISAN SENI UNTUK GENERASI AKAN DATANG

    Para pemenang bagi Peringkat Akhir Pertandingan Tarian Brunei Asli bagi Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab serta Pertandingan Tarian Etnik Brunei bagi Sekolah-sekolah Rendah Senegara Tahun 2024 adalah dinilai berdasarkan kepada penghakiman dari segi gerak tari dan irama, bentuk persembahan, tempo, ketetapan dan kesesuaian tema, tatatertib dan sopan santun, serta pakaian.

    Bagi pertandingan tarian asli, johan pertandingan ialah Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah diikuti dengan Sekolah Menengah Sufri Bolkiah di tempat kedua dan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri di tempat ketiga.

    Manakala bagi pertandingan tarian etnik, johan pertandingan ialah Sekolah Rendah Sultan Hashim, Batu Apoi, Temburong diikuti dengan Sekolah Rendah Perpindahan Kampung Bukit Beruang II di tempat kedua dan Sekolah Rendah Rataie Mukim Bokok, Temburong di tempat ketiga.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi sama-sama menyaksikan pertandingan peringkat akhir berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang di akhir acara.

    Walaupun pertandingan telah berakhir, tetapi ternyata para murid dan pelajar sekolah-sekolah yang terlibat telah mencipta kenangan terindah di zaman persekolahan mereka, di samping membawa nama sekolah masing-masing.

    Natijahnya, pertandingan tarian yang mengetengahkan Tarian Brunei Asli dan Tarian Etnik Brunei itu pastinya membawa generasi kita kembali kepada kebudayaan dan kesenian warisan Brunei, sekali gus mencerminkan kehidupan tradisi Melayu Brunei yang hampir ditelan zaman.

    Tuntasnya, pertandingan itu bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform bagi generasi muda untuk terus mengangkat dan memelihara khazanah budaya bangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda