SINGAPURA, 22 JAN – Agensi Makanan Singapura (SFA) telah mengumumkan penarikan balik produk keju lembut dari Perancis berikutan kemungkinan pencemaran bakteria listeria monocytogenes.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, SFA memaklumkan bahawa Sistem Amaran Pantas Eropah untuk Makanan dan Makanan Haiwan (RASFF) telah mengesan pencemaran pada produk Nangis Lait Cru Truffe Noire 3%.
Keju yang diperbuat daripada susu mentah dengan isian trufel hitam itu diimport ke Singapura oleh syarikat Cheese Shop Pte. Ltd. SFA telah mengarahkan syarikat tersebut untuk menarik balik produk berkenaan dari pasaran.
Pengguna yang telah membeli keju itu dinasihatkan agar tidak memakannya. Mereka yang telah menggunakan produk itu dan mempunyai kebimbangan terhadap kesihatan mereka disarankan untuk mendapatkan rawatan perubatan segera, menurut kenyataan agensi tersebut.
Listeria monocytogenes ialah bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan. Gejala jangkitan termasuk demam, sakit otot, loya dan cirit-birit.
Penyakit itu boleh menjadi serius atau membawa maut, terutama bagi wanita hamil, anak damit dan individu dengan sistem imun yang lemah. – Xinhua